- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan isytihar enakmen DUN Selangor tidak mengikut Perlembagaan

Mahkamah Persekutuan menetapkan DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen membenarkan Mahkamah Syariah negeri mengkaji semula fatwa oleh pihak berkuasa agama negeri.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang membenarkan Mahkamah Syariah negeri mengkaji semula fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara berkata mahkamah mendapati Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak mengikut perlembagaan dan tidak sah kerana ia merupakan peruntukan yang DUN Selangor tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

“Oleh itu, petisyen oleh SIS Forum (Malaysia) dibenarkan tanpa sebarang perintah mengenai kos,” kata Tengku Maimun.

Panel hakim itu turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusuf; Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim dan hakim Mahkamah Persekutuan terdiri dari Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong Lam Kiat, Zaleha Yusof, Harmindar Singh Dhaliwal dan Rhodzariah Bujang.

Pada 22 September tahun lepas, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.