- Iklan -
Berita

Peguam Rosmah positif Covid, prosiding kes gubah wang haram ditangguh

Tarikh pendengaran baru akan ditetapkan pada 2 Mac.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama
Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam. Gambar: Bernama

Prosiding kes Rosmah Mansor membabitkan pertuduhan pengubahan wang haram dan pengelakan cukai, yang sepatutnya didengar hari ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditangguhkan selepas seorang peguamnya disahkan positif Covid-19.

Hari ini ditetapkan untuk mendengar hujahan pasukan pembelaan yang membantah percubaan Gopal Sri Ram daripada mengemukakan sendiri hujahannya terhadap permohonan Rosmah untuk membatalkan kelayakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya kanan dalam kes berkenaan.

Peguam Geethan Ram Vincent, yang mewakili Rosmah ketika dihubungi pemberita berkata pihaknya telah menghantar e-mel kepada timbalan pendaftar Catherine Nicholas selepas prosiding kes itu semalam, bagi memaklumkan perkara itu.

Dalam e-mel itu menyatakan selepas pasukan pembelaan meninggalkan mahkamah semalam pada pukul 2.48 petang, seorang daripada peguam telah menerima laporan patologi yang mengesahkan bahawa beliau positif Covid-19. Laporan ujian patologi turut disertakan dalam e-mel berkenaan.

“Kami memohon prosiding hari ini ditangguhkan kerana semua pihak yang berada di mahkamah semalam adalah kontak rapat kepada peguam itu,” kata Geethan.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya Poh Yih Tinn ketika dihubungi berkata tarikh pendengaran baru bagi permohonan itu ditetapkan pada 2 Mac ini.

Pada 27 Januari lepas, Rosmah menfailkan notis usul bagi membatalkan kelayakan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya.

Dalam afidavit sokongannya, Rosmah mendakwa Peguam Negara Idrus Harun telah bertindak di luar bidang kuasanya apabila melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan untuk mengetuai siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pendakwaan terhadap mereka yang terlibat.

Rosmah berkata selepas meneliti surat pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai timbalan kanan pendakwa raya bertarikh 21 Mei 2021, mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Tatacara Jenayah, beliau mendapati pelantikan itu tidak merujuk kepada kesnya.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Bangunan Getah Asli cawangan, Jalan Ampang di sini antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017, dan di LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.