- Iklan -
Berita

Bekas timbalan pengarah jabatan air Sabah lepas tanpa bebas tuduhan gubah wang haram

Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan semua pertuduhan terhadap Teo.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Teo Chee Kong di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini. Gambar: Bernama
Bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Teo Chee Kong di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini. Gambar: Bernama

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini melepas tanpa membebaskan bekas timbalan pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Teo Chee Kong, 56, atas 146 pertuduhan pengubahan wang haram lebih RM32 juta.

Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu selepas timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan pihaknya dan Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk tidak meneruskan semua pertuduhan terhadap Teo.

Mahadi berkata ini berikutan tertuduh telah menghantar representasi berhubung pertuduhan itu kepada Jabatan Peguam Negara dan SPRM.

Pada 13 Disember 2017, Teo mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu. Dia didakwa melakukan pengubahan wang haram melalui penerimaan wang rasuah yang melibatkan projek di Jabatan Air Negeri Sabah sejak 2010 hingga 2016.

Kes itu pada peringkat perbicaraan dengan pihak pendakwaan telah memanggil lima saksinya untuk memberi keterangan.

Sementara itu dalam sidang media selepas prosiding itu Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Faridz Gohim Abdullah berkata kompaun sebanyak RM30 juta dikenakan terhadap tertuduh.

Faridz berkata tindakan SPRM mengenakan kompaun itu adalah satu bentuk pemulangan aset di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAM) 2001.

Beliau berkata kompaun itu merupakan hukuman atau tindakan punitif terhadap tertuduh dan secara tidak langsung sebagai satu pengakuan salah.

“Dengan jumlah ini ia merupakan satu kejayaan kepada pihak pendakwaan dan sekiranya tertuduh tidak membayar kompaun, dia akan didakwa penuh dalam mahkamah,” katanya.

Beliau berkata keputusan ke atas Teo itu tidak menjejaskan kes tiga individu lain (termasuk Awang Mohd Tahir Mohd Talib) yang turut menghadapi pertuduhan berkaitan.

Pada 4 Oktober 2016, Teo bersama bekas pengarah jabatan itu, Awang Mohd Tahir Mohd Talib ditahan SPRM dan selepas menggeledah pejabat dan kediaman kedua-dua suspek, SPRM menemukan wang tunai RM52 juta iaitu RM7 juta milik Teo manakala RM45 juta milik Awang Mohd Tahir.

Turut ditemukan adalah barangan kemas, wang tunai di dalam beberapa akaun di luar negara serta geran-geran tanah yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM180 juta termasuk wang tunai.