- Iklan -
Berita

Singapura bakal laksana satu lagi hukuman gantung

Pelaksanaan hukuman tetap diteruskan ketika republik itu dikecam teruk kerana menjalankan hukuman mati terhadap OKU mental.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah gambar menunjukkan seorang pengawal pagar penjara bersenjata di Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP
Sebuah gambar menunjukkan seorang pengawal pagar penjara bersenjata di Penjara Changi, Singapura. Gambar: AFP

Pihak berkuasa Singapura menjadualkan satu lagi hukuman mati terhadap banduan bilik akhir ketika usaha masih diteruskan untuk menyelamatkan dua banduan lain dari tali gantung.

Keputusan tersebut diteruskan sewaktu republik itu menjadi tumpuan ekoran kecaman meningkat berhubung penggunaan hukuman mati oleh pihak berkuasa.

Salinan surat dari Perkhidmatan Penjara Singapura dimuat naik aktivis Kirsten Han mengatakan Rosman Abdullah akan menjalani hukuman gantung pada 23 Februari.

Surat yang dialamatkan kepada ibu Rosman mengatakan lawatan lanjutan akan dibenarkan kepada ahli keluarga sehingga sehari sebelum hukuman mati dijalankan.

Pelaksanaan hukuman mati terbaru itu dimaklumkan ketika peguam sedang berusaha untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mati terhadap seorang warga Malaysia Pausi Jefridin dan Roslan Bakar yang merupakan warga Singapura.

Kedua-dua mereka didiagnosis oleh pakar sebagai orang kurang upaya (OKU) mental.

Pausi dan Roslan, didakwa menyeludup 96.07g diamorfin dan 76.37g metamfetamin pada 2008, dan disabitkan kesalahan pada 2010.

Mereka juga gagal dalam rayuan di mahkamah pada 2017 untuk mengubah hukuman mati kepada penjara seumur hidup walaupun peguam memetik laporan berkenaan keupayaan intelek mereka yang boleh menyebabkan pelaksanaan hukuman mati tersebut bercanggah dengan undang-undang Singapura dan perjanjian antarabangsa.

Hukuman mati mereka, yang dijadualkan semalam, ditangguhkan susulan peguam mengemukakan satu lagi rayuan kepada mahkamah dalam usaha akhir menyelamatkan mereka dari tali gantung.

Kes mereka berdua adalah sama seperti kes Nagaenthran K Dharmalingam, seorang warga Malaysia yang turut didiagnosis mempunyai tahap IQ sebanyak 69, yang dijadualkan menjalani hukuman mati pada November tahun lalu.

Bagaimanapun dia diberikan penangguhan hukuman selepas didapati positif Covid-19 sebelum mahkamah mendengar rayuan akhir bagi menyelamatkan nyawanya.

Pendengaran kesnya dipercayai akan ditetapkan bulan ini.