- Iklan -
Berita

Presiden Singapura perintah tangguh hukuman mati dua banduan OKU mental

Sebelum ini Roslan Bakar dan Pausi Jefridin dijadualkan menjalani hukuman gantung di negara itu.

Our Regional Correspondent
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Singapura Halimah Yacob. Gambar: AFP
Presiden Singapura Halimah Yacob. Gambar: AFP

Dua lelaki kurang upaya (OKU) mental yang berdepan hukuman mati di tali gantung Singapura atas kesalahan berkaitan dadah diberikan penangguhan hukuman oleh presiden republik itu, Halimah Yacob, MalaysiaNow difahamkan.

Keputusan tersebut bermaksud Roslan Bakar dan warga Malaysia Pausi Jefridin yang dijadualkan menjalani hukuman gantung tidak akan dilaksanakan seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Difahamkan, Halimah menggunakan bidang kuasanya mengikut Perkara 22P(1) Perlembagaan Singapura dan Seksyen 313(h) Kanun Prosedur Jenayah.

Perkara 22P antara lain menyatakan, presiden mempunyai kuasa dengan nasihat Kabinet memberikan pesalah disabit kesalahan di Singapura pengampunan, sama ada dengan membebaskan atau tertakluk kepada beberapa syarat perundangan, membatalkan atau menangguhkan untuk selamanya atau bagi tempoh tertentu mengikut kesesuaian yang dirasakan layak oleh presiden berhubung pelaksanaan sebarang keputusan hukuman.

Roslan dan Pausi pada mulanya dijadualkan menjalani hukuman mati pada 16 Februari, namun ditangguhkan selepas percubaan akhir peguamnya bagi menghentikan pelaksanaan hukuman tersebut.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, jurucakap Perkhidmatan Penjara Singapura berkata mereka tidak dapat mendedahkan sebarang butiran mengenai perkara itu.

Pausi dan Roslan didakwa menyeludup 96.07g diamorfin dan 76.37g metamfetamin pada 2008, dan disabitkan kesalahan pada 2010.

Mereka juga gagal dalam rayuan di mahkamah pada 2017 untuk mengubah hukuman mati kepada penjara seumur hidup walaupun peguam memetik laporan berkenaan keupayaan intelek mereka yang boleh menyebabkan pelaksanaan hukuman mati tersebut bercanggah dengan undang-undang Singapura dan perjanjian antarabangsa.

Berita tentang mereka telah mencetuskan kritikan dan kecaman ramai pihak, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengatakan penggunaan hukuman mati bagi kesalahan berkait dadah tidak selari dengan undang-undang antarabangsa hak asasi manusia.

Jurucakap cabang hak asasi manusia PBB Ravina Shamdasani menegaskan kepada pemberita di Geneva baru-baru ini bahawa hukuman mati hanya dibenarkan di bawah undang-undang antarabangsa bagi “kesalahan paling berat, di mana ia ditafsirkan sebagai jenayah-jenayah melibatkan bunuh dengan niat.”

Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman mereka semalam ditangguhkan selepas peguam berjaya memfailkan rayuan pada saat akhir dalam usaha menyelamatkan nyawa mereka dari tali gantung.

Singapura yang mempunyai undang-undang keras terhadap kesalahan dadah bertegas hukuman mati adalah pencegah jenayah yang berkesan di negara itu.