- Iklan -
Berita

Satu lagi peluang bagi banduan bilik akhir selepas Singapura tolak rayuan

Pausi Jefridin dalam usaha untuk menghentikan pelaksanaan hukuman mati ke atasnya yang sebelum ini dijadualkan akan dijalankan hari ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Mahkamah Agung Singapura yang terdiri dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Mahkamah Rayuan Singapura hari ini menolak rayuan warga Sabah Pausi Jefridin dalam usaha menghentikan pelaksanaan hukuman matinya, namun satu lagi peluang menerusi proses perundangan masih boleh diteruskan baginya untuk mengelak daripada menjalani hukuman mati atas kesalahan menyeludup dadah sekitar 14 tahun lalu.

Penetapan itu diberikan selepas wang jaminan sebanyak S$20,000 atau lebih RM62,000 ditetapkan mahkamah pagi tadi bagi membolehkan mereka menangguhkan hukuman bagi tempoh beberapa jam.

Peguam hak asasi terkemuka M Ravi berkata Pausi dan Roslan diberikan tempoh sehingga pukul 1.45 tengah hari untuk menyerahkan wang jaminan tersebut.

“Orang miskin dan tertindas hanya menerima sekelumit keadilan. Tidak ada kedaulatan undang-undang di Singapura. Malangnya!” kata beliau dalam sebuah hantaran Facebook.

Dalam sebuah hantaran lain, beliau turut mengecam “fi pemfailan yang sangat besar” tersebut, sambil menambah proses itu mungkin berjalan secara percuma di Malaysia.

Terdahulu, pelaksanaan hukuman terhadap Pausi dan Roslan ditetapkan hari ini walaupun beberapa pakar mendapati mereka mempunyai ketidakupayaan mental.

Kedua-dua lelaki itu didakwa menyeludup 96.07g diamorfin dan 76.37g metamfetamin pada 2008 dan disabitkan kesalahan tersebut pada 2010.

Mereka juga gagal dalam rayuan di mahkamah pada 2017 untuk mengubah hukuman mati kepada penjara seumur hidup walaupun peguam memetik laporan berkenaan keupayaan intelek mereka yang boleh menyebabkan pelaksanaan hukuman mati tersebut bercanggah dengan undang-undang Singapura dan perjanjian antarabangsa.

Kes mereka berdua adalah sama seperti kes Nagaenthran K Dharmalingam, seorang warga Malaysia yang turut didiagnosis mempunyai tahap IQ sebanyak 69, yang dijadualkan menjalani hukuman mati pada November tahun lalu.

Bagaimanapun dia diberikan penangguhan hukuman selepas didapati positif Covid-19 sebelum mahkamah mendengar rayuan akhir bagi menyelamatkan nyawanya.

Pendengaran kesnya dipercayai akan ditetapkan bulan ini.

Kes Nagaenthran menimbulkan kemarahan orang ramai, sehingga menyebabkan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut mengutus surat kepada kerajaan Singapura bagi merayu supaya dia diberikan pengampunan.

Di bawah Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang ditandatangani Singapura, pelaksanaan hukuman mati terhadap OKU mental adalah dilarang.

Seksyen 33B(3) Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura juga turut melarang hukuman mati dikenakan terhadap individu yang mengalami kerencatan perkembangan minda yang boleh menjejaskan tanggungjawab mental dan fizikal mereka.