Saturday, July 2, 2022

Selepas 2 tahun, lelaki terus berusaha dapatkan ganti tiket AirAsia

Shahril Amir Muhamad terus berusaha untuk mendapatkan semula bayaran ganti tiket penerbangan yang berharga lebih RM4,000 daripada syarikat tambang murah AirAsia.

Other News

Selepas dua tahun, seorang jurutera terus berusaha untuk mendapatkan semula bayaran ganti tiket penerbangan syarikat tambang murah AirAsia yang dibelinya pada 2019.

Menceritakan kisahnya, Shahril Amir Muhamad, 30, berkata dia terpaksa mengambil masa sehingga enam bulan sebelum berjaya mengumpul wang secukupnya untuk bercuti ke Jepun bersama isterinya.

Katanya, tempahan tiket ke Narita, Tokyo dibuat pada 30 September, 2019 untuk tarikh penerbangan 25 Mac, 2020 dengan harga RM1,622 manakala tiket kembali dari Kansai ke Kuala Lumpur pula ditempah pada 1 Januari, 2020 dengan harga RM2,568.

Bagaimanapun, Shahril membuat tuntutan bayaran balik bagi kedua-dua tiket tersebut pada 17 Mac, 2020 apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula keesokan harinya susulan penularan Covid-19 di negara dan global.

Shahril berkata, dia turut dimaklumkan oleh AirAsia menerusi emel mengenai pembatalan penerbangannya pada 23 Mac, 2020, dua hari sebelum tarikh penerbangannya.

“Saya kemudian mendapat makluman pada 4 Julai, 2020 bahawa permohonan bayaran balik diluluskan menerusi nota kredit,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Bagaimanapun, sejak itu, tiada lagi perkembangan lanjut dan saya terus menunggu untuk menerima semula duit tersebut.”

Menurut Shahril, selepas menunggu hampir 10 bulan, dia membuat laporan kepada tribunal pengguna secara dalam talian pada 3 Mei, 2021 sebelum dipanggil menghadiri perbicaraan pada 25 Oktober, 2021.

Bagaimanapun, beliau kecewa apabila dimaklumkan masalah tersebut bukan di bawah bidang kuasa tribunal pengguna dan dinasihatkan supaya merujuk kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

“Saya terus membuat aduan kepada pihak Mavcom pada keesokan hari dan dihubungi seorang pegawai dua hari kemudian.

“Namun begitu, pegawai itu hanya jelaskan mengenai langkah penstrukturan hutang oleh AirAsia X yang mana butiran ini saya terima sendiri dari syarikat tersebut melalui emel pada 18 Oktober 2021,” katanya.

MalaysiaNow telah menghubungi Mavcom, namun tidak berjaya mendapat sebarang maklum balas.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh AirAsia pada 12 November, 2021, skim pengaturan hutang berjumlah RM33.65 bilion yang dicadangkan syarikat penerbangan tambang murah itu mendapat persetujuan 99% daripada pemiutang menerusi undi pada mesyuarat yang diadakan pada hari tersebut.

Katanya, cadangan penstrukturan semula hutang yang mendapat kebenaran dari mahkamah tinggi itu dijangka akan selesai pada suku pertama 2022.

Menurut AirAsia, apabila setuju dengan cadangan tersebut, pengguna akan menerima 0.5% daripada jumlah harga tiket yang dibayar serta sejumlah nilai keuntungan yang diperoleh dari tahun kewangan 2023-2026.

Selain itu pemiutang juga dijamin akan menerima kredit perjalanan yang boleh digunakan untuk membeli tiket penerbangan atau barangan serta perkhidmatan yang disediakan AirAsia X pada masa hadapan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.

Namun begitu, kenyataan itu turut menjelaskan mekanisme perkongsian keuntungan tersebut tidak akan dilaksanakan sekiranya pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai pelunasan dan kos penyusunan semula atau sewa (Ebitdar) tidak kurang dari RM300 juta.

Mengulas mengenai cadangan ini, Shahril bagaimanapun tidak bersetuju dan menggesa Mavcom supaya mengambil tindakan dan usaha mendapatkan kembali duit pembelian tiketnya.

“Pada mulanya, saya agak yakin apabila Mavcom membuat kenyataan terbuka bahawa mereka akan ambil tindakan sekiranya AirAsia X tidak memulangkan semula wang pembeli tiket.

“Tetapi ia berakhir begitu sahaja apabila tiada tindakan lanjut,” katanya dengan nada kecewa.

Walaupun usahanya gagal, Shahril tetap tidak berputus asa untuk mendapatkan semula lebih RM4,000 yang dibelanjakannya dan bersemangat selepas membaca mengenai pengalaman seorang lagi penumpang yang terus menuntut haknya sehingga diberikan bayaran semula.

Penumpang tersebut adalah Nagendran yang kisahnya dilaporkan MalaysiaNow pada November tahun lalu, di mana beliau berjaya mendapatkan bayaran ganti rugi hampir RM5,000 bagi tiket perjalanannya bersama keluarga ke Kemboja selepas ia dibatalkan.

“Kejayaan Nagendran membuktikan bahawa saya masih ada harapan untuk dapatkan semula wang saya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles