- Iklan -
Berita

Pendakwaan mahu soal balas saksi dianggap belot dalam kes rasuah Bung Moktar

Pihak pendakwaan berkata terdapat percanggahan antara keterangan saksi itu di mahkamah sebelum ini, dengan rakaman percakapan yang diambil SPRM.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette A Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember. Gambar: Bernama
Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri Zizie Izette A Samad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Disember. Gambar: Bernama

Pihak pendakwaan memohon untuk menyoal balas seorang saksi utamanya yang dianggap sebagai saksi belot dalam perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad, berhubung pelaburan unit amanah Public Mutual Berhad.

Timbalan pendakwa raya Law Chin How berkata permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 154 Akta Keterangan 1950, bagi menyoal balas sendiri perunding unit amanah yang merupakan saksi pendakwaan ke-25, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45.

“Terdapat percanggahan yang material antara keterangan saksi itu di mahkamah sebelum ini, dengan rakaman percakapan yang diambil oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa siasatan,” katanya pada perbicaraan kes itu di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

Law memaklumkan pihaknya telah menyerahkan rakaman percakapan saksi itu kepada pihak pembelaan.

Peguam Ridha Abdah Subri mewakili Bung Moktar mengesahkan menerima rakaman tersebut pada 11 Februari lepas, manakala peguam K Kumaraendran yang mewakili Zizie juga memaklumkan perkara sama.

Bagaimanapun, pihak pembelaan membantah permohonan tersebut atas alasan ia tidak dibuat mengikut prosedur yang betul.

Hakim Rozina menetapkan 24 Februari ini untuk mendengar permohonan tersebut, dan menasihatkan Norhaili agar tidak berkomunikasi atau berbincang dengan mana-mana pihak termasuk pasukan pembelaan, tertuduh dan pegawai penyiasat.

Terdahulu Norhaili semasa pemeriksaan utama oleh pendakwaan mengekalkan keterangannya pada 27 Januari lepas bahawa Zizie layak menerima wang pengenalan RM2.8 juta, memandangkan pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk Felcra membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Dalam keterangannya itu, saksi berkenaan berkata bayaran wang pengenalan yang diberikan kepada Zizie merupakan strategi pemasaran pihaknya, apabila pelakon itu turut memperkenalkan seorang pegawai kanan Felcra untuk membuat pelaburan sama.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500, sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 64, yang merupakan pengerusi bukan eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi menerusi Zizie di Public Bank cawangan Taman Melawati antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie, atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.