- Iklan -
Berita

Khairy arah KKM denda penganjur majlis MIC, pemimpin BN langgar SOP

Bendahari Agung BN Hishammuddin Hussein dan Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad adalah antara yang dikenakan kompaun tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC yang diadakan di Stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor semalam. Gambar: Bernama
Penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC yang diadakan di Stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor semalam. Gambar: Bernama

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengarahkan pegawai kementerian kesihatan (KKM) Putrajaya untuk mengeluarkan kompaun ke atas penganjur Majlis Pelancaran Briged MIC yang diadakan di Stadium Educity, Iskandar Puteri semalam, kerana melanggar operasi standard (SOP) Covid-19.

Turut berdepan tindakan kompaun Bendahari Agung Barisan Nasional (BN) Hishammuddin Hussein, Pengerusi BN Johor Hasni Mohammad dan Presiden MIC S Vigneswaran.

Perkara itu diumumkan Khairy menerusi akaun Twitter rasmi beliau.

“Saya telah mengarahkan pegawai @KKMPutrajaya untuk keluarkan kompaun kepada DS Hishammuddin, DS Hasni, TS Vigneswaran, pemimpin utama yang hadir & penganjur di bawah Akta 342.

“@KKMPutrajaya akan terus pantau SOP sempena PRN Johor,” menurut ciapan beliau.

Ahli Parlimen Rembau itu turut berkongsi pautan sebuah portal yang memuat naik video majlis berkenaan.

Difahamkan, majlis itu bermula pada 5.20 petang dan dianggarkan 3,000 hadir pada majlis berkenaan.

Ini adalah kali pertama pemimpin parti politik dan penganjur dikenakan kompaun sempena PRN Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.