- Iklan -
Berita

KDN digesa segerakan kelulusan kewarganegaraan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sarawak

Menteri Sarawak Fatimah Abdullah memberi amaran tentang masalah sosial yang timbul akibat proses permohonan kerakyatan yang panjang.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Sarawak Fatimah Abdullah berkata ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negeri itu sangat terdedah kepada eksploitasi.
Menteri Sarawak Fatimah Abdullah berkata ribuan kanak-kanak tanpa kerakyatan di negeri itu sangat terdedah kepada eksploitasi.

Seorang menteri Sarawak menggesa kementerian dalam negeri (KDN) menyegerakan proses permohonan kewarganegaraan bagi kanak-kanak tanpa kerakyatan di Sarawak, memberi amaran “penafian berterusan kerajaan” akan memberi kesan negatif kepada masyarakat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Fatimah Abdullah berkata majoriti kanak-kanak tanpa kerakyatan itu mempunyai sekurang-kurangnya seorang ibu bapa warga Malaysia sementara bagi kanak-kanak selainnya adalah dalam kalangan yang ditinggalkan ibu bapa tanpa sebarang maklumat untuk dikesan.

“Membiarkan mereka menunggu bermakna mereka akan semakin dewasa,” katanya.

“Tanpa kerakyatan, mereka tidak dapat pergi ke sekolah dan tidak berhak untuk memiliki pendidikan. Tiada pendidikan bermakna masa depan mereka akan terjejas.”

Malahan, jika dapat bersekolah, Fatimah berkata mereka terpaksa menanggung yuran yang lebih tinggi kerana dianggap sebagai warga asing.

Menurutnya, hal ini akan memberi kesan kepada yang berpendapatan rendah.

“Sementara bagi lepasan sekolah pula, mereka tidak boleh memohon pekerjaan atau mempelajari kemahiran di institusi latihan,” tambahnya.

“Ini menjejaskan masa depan mereka, selain itu, jika kanak-kanak tersebut tidak mempunyai sebarang bentuk pengenalan diri mengikut undang-undang, ia boleh menyebabkan berlakunya isu sosial.

“Penolakan permohonan yang berterusan akan memberi kesan buruk kerana anda tidak tahu anda warga negara mana. Anda rasa macam warga Malaysia, tetapi bukan.”

Kenyataan Fatimah itu tampil susulan pengumuman Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin mengenai kad khas yang akan dikeluarkan kepada warga asing dan anak-anak yang sudah lama menetap di Sabah.

Menurut Hamzah, langkah tersebut akan membolehkan pihak berkuasa menentukan jumlah warga asing di negeri itu.

Dalam pada itu, Fatimah berkata terdapat ribuan kanak-kanak di Sarawak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sangat terdedah kepada eksploitasi.

Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan Sarawak menerima lebih 800 permohonan sejak penubuhannya pada 2016.

Bagaimanapun, Fatimah berkata jumlah tersebut tidak termasuk permohonan yang dikemukakan terus kepada KDN sebelum penubuhan jawatankuasa khas tersebut.

“Mungkin ada lagi,” tambahnya.

Dengan keadaan geografi Sarawak yang luas, dipenuhi bukit-bukau dan sungai menyukarkan ramai orang mengemukakan permohonan untuk menjadi rakyat negara ini.

Hal ini menjadi masalah utama bagi yang tinggal di kawasan luar bandar di mana jalan raya yang baik terlalu sedikit menyebabkan perjalanan untuk menyelesaikan urusan itu memakan masa yang lama selain terpaksa berdepan birokrasi pentadbiran yang terlibat.

“Kami dapat melihat sendiri kes wanita yang dipaksa melacur bagi menampung kehidupan, mereka terpaksa meninggalkan anak-anak bersama ibu bapa mereka yang sudah tua di rumah panjang dan kampung,” kata Fatimah.

“Kami sangat bimbang dengan tempoh yang lama (diperlukan kerajaan) untuk memaklumkan kepada pemohon mengenai kelulusan permohonan mereka sama ada diluluskan atau tidak.”

Fatimah turut menambah masalah yang dihadapi kanak-kanak tanpa kerakyatan semakin meningkat apabila mereka menjadi dewasa.

Fatimah berkata dasar persekutuan mengenai kanak-kanak tanpa kerakyatan sering mengabaikan keadaan golongan itu di Sarawak.

Beliau juga menggesa kementerian pendidikan supaya mengambil berat dengan situasi kanak-kanak daripada golongan ini, yang menurutnya tidak meminta untuk dilahirkan sedemikian.

“Dasar baru kementerian pendidikan yang mewajibkan kanak-kanak tanpa kerakyatan membuat pasport untuk mendaftar di sekolah kerajaan pasti akan menjejaskan lebih ramai orang di Sarawak,” katanya.

Terdapat juga masalah perubahan dasar yang sering berlaku dan bergantung kepada perkembangan politik, katanya.

Beliau turut berkata sesetengah ibu bapa di Malaysia mengemukakan permohonan kewarganegaraan bagi pihak anak angkat mereka, atau anak-anak yang ditinggalkan dan ditempatkan di rumah kebajikan.

Ada juga permohonan daripada ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak angkat mengikut prosedur teliti, selain anak yang dilahirkan di luar pernikahan atau ibu bapa yang tidak berkahwin dan ibunya adalah orang asing.

Beliau juga turut memetik kajian Universiti Malaysia Sarawak baru-baru ini yang mendapati antara punca utama kelewatan pendaftaran kanak-kanak dengan pihak berkuasa adalah kurangnya kesedaran dalam kalangan ibu bapa mengenai kepentingan memiliki dokumen pengenalan diri.

Sejak 2017, katanya, Majlis Pembangunan Sosial Sarawak menjalankan program dan kempen kesedaran sebagai sebahagian daripada usaha menangani isu tanpa kerakyatan serta masalah dokumen peribadi dalam kalangan masyarakat yang terdedah dan berisiko, khususnya yang tinggal di kampung-kampung yang terletak di kawasan sempadan.

Beliau berkata usaha tersebut akan diteruskan dengan program Randau melibatkan pelbagai agensi kerajaan dalam usaha menjelaskan kepada orang ramai tentang kepentingan kewarganegaraan.

Menurutnya, rundingan dengan pusat latihan kemahiran di negeri ini juga sedang dijalankan, ia bagi membolehkan kanak-kanak tanpa kerakyatan melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tersebut dengan syarat mereka boleh menunjukkan mereka memohon kewarganegaraan dan masih menunggu maklum balas dari KDN.

“Kerajaan negeri memahami yang kita tidak boleh bergantung kepada jentera pentadbiran KDN dan Jabatan Pendaftaran Negara,” katanya.