- Iklan -
Berita

PAS, Bersatu dijangka tanding lebih 40 kerusi, kata Tuan Ibrahim

Perikatan Nasional dijangka akan bertanding di kesemua kerusi pada PRN Johor 12 Mac depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar: Bernama
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man. Gambar: Bernama

Perikatan Nasional (PN) dijangka bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, dengan PAS dan Bersatu bertanding di lebih 40 kerusi, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Jentera parti telah membuat persiapan untuk menghadapi PRN kali ini dan pembahagian kerusi akan dilakukan dengan sebaik mungkin memandangkan masih ada beberapa parti lain lagi dalam PN. Selebihnya (itu) parti komponen lain dalam PN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Non-Revenue Water (NRW) Nasional Pendekatan 1 Negeri Kelantan dekat Pasir Tumboh, hari ini.

Beliau berkata pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu masih di peringkat perbincangan dan ia hanya akan dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Induk Pilihan Raya PN PRN Johor nanti.

“Kita juga telah bersetuju supaya satu bilik gerakan operasi antara PAS dan Bersatu ditempatkan di satu lokasi sahaja, bagi memudahkan segala urusan perancangan dan gerak kerja parti,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor manakala penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari dan pengundian awal pada 8 Mac.