- Iklan -
Berita

Vaksinasi kanak-kanak kunci untuk hidup bersama Covid-19, kata pakar kesihatan

Dr Helmy Hazmi berkata manfaat vaksinasi yang memberi perlindungan dari Covid-19 melebihi ketidakpastian terhadap vaksin.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Vaksinasi kanak-kanak dapat mengurangkan gangguan pembelajaran kanak-kanak di sekolah kerana risiko jangkitan yang menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke sekolah dapat dielakkan.
Vaksinasi kanak-kanak dapat mengurangkan gangguan pembelajaran kanak-kanak di sekolah kerana risiko jangkitan yang menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke sekolah dapat dielakkan.

Seorang pakar kesihatan awam menggesa lebih ramai ibu bapa mempertimbangkan untuk mendaftarkan vaksinasi Covid-19 terhadap anak-anak ketika kerajaan sedang mempertingkatkan usaha membawa negara ke fasa endemik di mana tumpuan dalam berdepan virus itu akan beralih untuk hidup bersamanya berbanding fasa pandemik di mana usaha untuk memeranginya menjadi keutamaan.

Dr Helmy Hazmi dari Universiti Malaysia Sarawak mengakui wujud kebimbangan kesan buruk akibat vaksin bakal dialami anak-anak dalam kalangan ibu bapa, namun beliau berkata inokulasi terhadap virus yang kini meragut lebih 32,000 nyawa di negara ini adalah penting bagi sebarang peralihan kepada fasa endemik.

“Memandangkan kita tidak lagi boleh hidup dalam suasana sekatan pergerakan lagi, vaksinasi adalah kunci untuk kita hidup bersama virus,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Dengan pembukaan semula sekolah dan tempat awam di mana kesesakan dan pergaulan rapat sukar dielakkan, vaksinasi dapat membantu melindungi kanak-kanak serta ahli keluarga, selain dapat meminimumkan risiko jangkitan.”

Kerajaan berulang kali memberi jaminan sekatan pergerakan seperti perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu tidak akan dibuat lagi secara besar-besaran.

Semalam, Majlis Pemulihan Negara menegaskan perkara yang sama dengan mengatakan pengalaman Malaysia sudah cukup dalam menangani dan menguruskan wabak tersebut.

Keputusan tersebut diambil walaupun gelombang jangkitan Covid-19 ketika ini melonjak susulan penularan varian Omicron yang menyaksikan hampir 14,000 kes baru direkodkan semalam.

Agensi-agensi kesihatan bersetuju walaupun varian Omicron lebih cepat menular berbanding varian Delta yang melanda dunia tahun lalu, namun kesan jangkitan varian itu kelihatan kurang teruk di mana ia hanya mencatatkan jumlah rendah pesakit dimasukkan ke hospital atau berakhir dengan kematian.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein juga turut berkata Malaysia mesti terus bergerak ke hadapan, dengan memulakan rancangan peralihan kepada fasa endemik.

Bagaimanapun, beliau berkata keputusan bilakah fasa itu akan bermula akan bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Helmy berkata ketika sekolah dibuka semula selepas cuti Tahun Baru Cina, kanak-kanak yang masih belum diberi vaksin sangat berisiko untuk beberapa minggu ke depan.

“Walaupun kebanyakan kanak-kanak yang dijangkiti menunjukkan simptom ringan atau asimptomatik, namun sebahagian kecil boleh berakhir dengan bentuk penyakit tenat yang dipanggil MIS-C atau sindrom keradangan pada kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata risiko penyakit itu lebih besar berbanding ketidakpastian berhubung vaksinasi kanak-kanak terhadap Covid-19, terutama ketika risiko kanak-kanak berdepan jangkitan virus itu terus berpanjangan.

“Kemungkinan penyakit Covid berpanjangan mungkin kurang pada kanak-kanak tetapi apabila lebih ramai dijangkiti, kes boleh juga meningkat,” katanya sambil menambah ia akan menjejaskan kualiti hidup mereka dalam jangka panjang.

Seorang guru di SK St Mary Kuching, Suliwatee berkata pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak boleh membantu mengurangkan jurang digital antara kanak-kanak daripada keluarga berkemampuan dan keluarga yang tidak mampu menyediakan peranti yang diperlukan untuk pembelajaran dalam talian.

Suliwatee berkata siri sekatan pergerakan yang dilaksanakan dalam negara sejak awal 2020 menyebabkan gangguan dalam pendidikan kanak-kanak.

Guru wanita itu turut memberikan contoh mengenai pelajar dalam kelasnya sendiri yang masih ketinggalan dalam menguasai asas kemahiran membaca.

“Sekolah adalah tempat terbaik untuk kanak-kanak berkembang,” katanya.

“Tidak hadir ke sekolah akan menjejaskan hidup mereka.”

Sementara itu, Helmy berkata walaupun kanak-kanak mungkin mendapat manfaat daripada perlindungan yang diberikan oleh ibu bapa yang lengkap divaksinasi, namun mereka tidak mendapat manfaat perlindungan secara terus dalam berdepan virus.

Beliau menasihatkan ibu bapa supaya mendapatkan maklumat yang sahih dalam mempertimbangkan manfaat dan risiko pemberian vaksin kepada anak-anak mereka.

“Vaksinasi akan mengurangkan jangkitan teruk,” katanya.

“Ia juga akan dapat mengurangkan penularan dan menghentikan mutasi.

“Seseorang hanya menyedari bahawa vaksin adalah senjata terbaik untuk perlindungan diri apabila anak-anak mereka dimasukkan ke ICU dengan jangkitan Covid yang teruk,” tegasnya.