- Iklan -
Berita

SPRM rakam keterangan 7 individu isu salah laku pegawai Mara

SPRM akan memanggil beberapa lagi individu berkait isu itu bagi membantu siasatan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Chocrane, Cheras.
Seorang lelaki berjalan di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Chocrane, Cheras.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan tujuh individu bagi membantu siasatan dakwaan salah laku dan integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata individu yang dipanggil meliputi kakitangan daripada Mara, Mara Corporation (Mara Corp) dan sebuah syarikat setiausaha korporat yang terlibat.

“SPRM akan memanggil beberapa lagi individu daripada ketiga-tiga pihak berkenaan untuk dirakam kenyataan,” katanya kepada Bernama di sini malam ini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah individu yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Azam berkata pihaknya juga tidak menerima laporan mengenai salah laku membabitkan Pengarah Eksekutif Mara Corp Suhaili Abdul Rahman yang didakwa menggunakan kad kredit korporat syarikat itu.

Sebaliknya beliau berkata setakat ini, siasatan SPRM hanya mengenai isu salah laku dan integriti melibatkan pegawai kanan Mara dan Mara Corp.

Pada Sabtu lepas, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu.