- Iklan -
Berita

SPRM serbu pejabat Mara di KL siasat dakwaan salah laku

Difahamkan serbuan berkenaan bagi mengumpul dokumen berkaitan salah laku yang dikaitkan dengan beberapa pegawai agensi tersebut.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ibu pejabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Ibu pejabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu beberapa pejabat Majlis Amanah Rakyat (Mara), susulan dakwaan isu integriti membabitkan beberapa pegawai kanan agensi berkenaan.

Menurut sumber SPRM, serbuan dijalankan di ibu pejabat Mara, Mara Corporation dan di sebuah syarikat setiausaha korporat di sekitar ibu kota bermula kira-kira pukul 10.30 pagi tadi melibatkan seramai 11 pegawai.

Difahamkan serbuan berkenaan bagi mengumpul dokumen berkaitan salah laku yang dikaitkan dengan beberapa pegawai agensi itu yang sebelum ini ditularkan di laman sosial.

Pada Sabtu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan Mara yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi berkenaan.

SPRM memaklumkan pihaknya memandang serius dakwaan itu dan siasatan akan dijalankan bermula Isnin dengan mengambil keterangan beberapa saksi dari Mara Corporation.

“Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang berkaitan dengan kesalahan mana-mana pegawai badan awam yang menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapatkan suapan,” menurut kenyataan itu.