- Iklan -
Berita

Perpecahan dalam PRN Johor rugikan Umno-PAS dalam jangka panjang, kata penganalisis

Perpecahan antara Umno dan PAS akan mencetuskan persaingan terbuka yang mana ia menawarkan peluang kepada parti lain untuk tampil sebagai pemenang.

Azzman Abdul Jamal
2 minit bacaan
Kongsi
Pemimpin PAS dan Umno bergambar bersama ketika Perhimpunan Agung Umno 2020 tahun lalu. Kedua-dua parti menjalin kerjasama di bawah piagam Muafakat Nasional.
Pemimpin PAS dan Umno bergambar bersama ketika Perhimpunan Agung Umno 2020 tahun lalu. Kedua-dua parti menjalin kerjasama di bawah piagam Muafakat Nasional.

Perpecahan antara Umno dan PAS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka akan merugikan kedua-dua pihak dalam jangka panjang, kata beberapa penganalisis politik.

Mereka berkata, ini kerana kedua-dua parti itu mempunyai sokongan akar umbi yang kuat selain menjadi pilihan paling popular dalam kalangan pengundi Melayu.

Penganalisis politik dari UUM, Ahmad Martadha Mohamed berkata situasi ini juga akan mencetuskan suasana persaingan terbuka yang mana ia menawarkan peluang kepada parti lain untuk tampil sebagai pemenang.

“Ini bermakna pengundi Melayu akan pecah antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) justeru sukar untuk tentukan senario PRU15 nanti,” katanya kepada MalaysiaNow.

Sementara itu, penganalisis politik dari UiTM, Mujibu Abd Muis, berkata kerjasama PAS dan Umno di peringkat kebangsaan dijangka tidak akan bertahan lama memandangkan kedua-dua parti itu merebut sasaran pengundi sama iaitu Melayu.

Malah katanya, Pakatan Harapan (PH) bukan lagi dilihat sebagai musuh politik utama memandangkan Bersatu disifatkan sebagai pesaing utama untuk merebut undi Melayu dan masih mampu mengancam Umno.

“Selain itu, masih tiada isu melibatkan undi Melayu di negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu yang memerlukan kerjasama Muafakat Nasional (MN) lebih daripada sekadar pakatan strategik untuk menentang ancaman PH,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Malah, dilema kerjasama PAS untuk bekerjasama dengan Umno atau PN juga sudah mencetuskan konflik dalaman parti yang jelas menunjukkan ahli terbahagi kepada dua kelompok berbeza.”

Baru-baru ini, Umno Kelantan membuat keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan PAS negeri menerusi MN berkuat kuasa serta merta selepas parti Islam itu menjalin kerjasama dengan Bersatu.

Keputusan itu mencapai kata sepakat selepas Umno negeri mengadakan mesyuarat khas dengan PAS di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan Ahmad Yaakob.

Hubungan antara PAS dan Umno dilihat semakin retak apabila kedua-dua parti itu bertembung pada PRN Melaka pada November tahun lalu, memandangkan parti Islam itu memutuskan untuk bertanding di bawah logo PN.

Keadaan juga semakin keruh apabila cadangan PAS untuk bertanding di semua kerusi yang gagal ditawan BN semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak diterima menerusi rundingan bersama antara mereka.

Malah, PAS hanya ditawarkan untuk bertanding di empat daripada 56 kerusi DUN meskipun menjelaskan formula tersebut adalah bagi memastikan PH tidak kembali berkuasa di Johor.

Mujibu berkata, Umno sudah dijangka tidak akan bekerjasama dengan PAS di PRN Johor memandangkan kekuatan mereka di negeri itu dilihat sangat kukuh dan stabil dan mampu capai kemenangan secara solo.

“Malah PAS di Johor dianggap tidak mampu memberikan kekuatan tambahan kerana sekiranya PAS bergerak secara solo tanpa BN atau PN, ada kemungkinan situasi sama pada PRU14 akan terjadi.

“Malah, kehadiran Bersatu, Warisan, Muda dan wakil rakyat dari Bebas juga akan memberi kelebihan kepada Umno-BN tanpa perlu gabungan tambahan,” tambahnya.

Mengulas mengenai keputusan Umno bergerak solo, Martadha berkata, ia mungkin terdorong oleh pencapaian pada PRN Melaka yang menyaksikan BN menang besar sekali gus meningkatkan lagi keyakinan mereka untuk bertanding di pilihan raya seterusnya tanpa bantuan parti lain.

“Umno selepas PRU14 dilihat agak lemah dan ini menyebabkan mereka sanggup bekerjasama dengan PAS bagi meraih sokongan untuk lawan Pakatan Harapan.

“Selepas PRN Melaka, Umno yakin boleh bergerak solo, malah dengan PAS semakin ke arah PN, maka kerjasama MN tidak lagi dilihat relevan,” katanya.

Namun begitu, beliau turut menekankan bahawa keputusan PAS memilih Bersatu berbanding Umno mungkin kerana parti itu ingin dihormati sebagai rakan sekutu yang setaraf dan bukannya sekadar sebuah “parti bawahan”.