- Iklan -
Berita

Hampir 50% dewasa terima dos penggalak ketika jumlah suntikan vaksin lepasi 63 juta

Sementara itu, 10 kes kematian akibat Covid-19 turut direkodkan semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Pakar Bedah Am, Dr Khoo Kay Tim menerima vaksin Pfizer BioNTech dos penggalak di pusat pemberian vaksin KPJ Tawakkal, Jalan Pahang.
Pakar Bedah Am, Dr Khoo Kay Tim menerima vaksin Pfizer BioNTech dos penggalak di pusat pemberian vaksin KPJ Tawakkal, Jalan Pahang.

Seramai 199,251 dewasa telah menerima suntikan dos penggalak Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif populasi dewasa yang diberikan suntikan penggalak di negara ini kepada 11,531,403 atau 49.3%.

Menurut data kementerian kesihatan (KKM) menerusi laman CovidNow, sejumlah 22,921,716 atau 97.9% daripada populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 23,199,172 individu atau 99.1% daripada golongan itu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Bagi populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,785,992 individu atau 88.5% telah menamatkan vaksinasi mereka, manakala 2,866,545 individu atau 91.1% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Statistik harian itu juga menunjukkan bahawa sejumlah 203,613 dos vaksin telah diberikan semalam, melibatkan 1,660 dos pertama dan 2,702 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada 63,100,577.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 10 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Selangor mencatatkan tiga kes, Kelantan dan Kuala Lumpur masing-masing dua kes, manakala Johor, Perak dan Sarawak masing-masing satu kes.