Wednesday, May 18, 2022

Hadi beri amaran kepada ‘kluster mahkamah’ Umno, bantah strategi cetus PRN

Presiden PAS mengecam pemimpin Umno yang berdepan pertuduhan jenayah, mengingatkan supaya mereka mempertahankan diri di mahkamah dan bukannya menyusahkan rakyat.

Other News

Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini memberikan amaran terhadap strategi politik mencetuskan pilihan raya negeri (PRN) didalangi “kluster mahkamah” Umno, dalam sebuah kenyataan paling keras sejak Muafakat Nasional (MN) termeterai antara PAS dan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

Bercakap kepada media menjelang retreat yang akan dihadiri beliau bersama Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin hujung minggu ini, beliau menyelar “strategi” mencetuskan PRN, mengatakan ia adalah percubaan untuk mengelak daripada pertuduhan jenayah yang dihadapi sebahagian pemimpin Umno.

“Kita tahu yang buat strategi ini adalah kluster mahkamah, kluster yang kalah PRU14, kluster yang tidak ada jawatan, bukan semua dalam Umno.”

Beliau menambah yang didakwa belum lagi disabitkan kesalahan, oleh itu mereka sepatutnya mempertahankan diri di mahkamah.

“Kalau kita ada moral, lawan di mahkamah, bukan susahkan rakyat, nak selamatkan diri, susahkan rakyat,” katanya.

Ketika ditanya apakah beliau kecewa dengan Umno yang menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah piagam MN yang termeterai pada 2019, Hadi menjawab “bukan seluruh Umno, kluster-kluster yang saya sebutkan.”

“Mereka inilah yang memainkan politik yang tidak sihat. Lepas Johor, nak buat di mana pula? Perak?” katanya.

Kluster mahkamah adalah istilah diberikan kepada pemimpin-pemimpin Umno yang kini berdepan pertuduhan jenayah di mahkamah termasuk bekas perdana menteri Najib Razak dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini berdepan pelbagai pertuduhan membabitkan kes rasuah, salah guna kuasa dan pecah amanah.

Mereka juga turut menjadi dalang dalam menumbangkan pentadbiran Muhyiddin Yassin yang terpaksa meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas beberapa ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadap beliau.

Dalam pada itu, Hadi turut berkata Umno tidak berterima kasih kepada PAS yang memberikan bantuan kepada parti utama BN itu selepas tumbang dari tampuk kerajaan pada 2018.

“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.

“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” kata ahli Parlimen Marang itu.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles