- Iklan -
Berita

Bekas CFO 1MDB nafi terima rasuah dari Goldman Sachs, Tim Leissner

Azmi Tahir menafikan perkara itu semasa disoal peguam Najib Razak, Tania Scivetti pada perbicaraan kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi. Gambar: Bernama

Bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir hari ini menafikan bahawa beliau telah menerima rasuah daripada Goldman Sachs bagi membolehkan syarikat itu mengaut keuntungan besar daripada bon AS$1.75 bilion yang dikeluarkan pada Oktober 2012 oleh 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL).

Azmi, 49, menafikan perkara itu semasa disoal balas oleh peguam Tania Scivetti, yang mewakili Najib Razak, pada perbicaraan bekas perdana menteri itu berhubung kes penyelewengan RM2.3 bilion dana 1MDB.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa kegagalannya merundingkan kadar faedah lebih rendah bagi 1MELL telah memberi manfaat kepada institusi kewangan tersebut yang membolehkan ia mengaut keuntungan besar daripada kadar faedah lebih tinggi yang dikenakan, selain turut menafikan menerima rasuah daripada Tim Leissner (bekas pengurus bank Goldman Sachs).

Scivetti: Saya katakan kepada awak, kegagalan merundingkan kadar faedah lebih baik untuk 1MDB iaitu tugas yang diamanahkan kepada awak, Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman telah membolehkan Goldman Sachs mengaut keuntungan besar daripada 1MDB, dan sebagai balasan, Leissner serta Goldman Sachs telah memberi rasuah kepada beberapa pegawai 1MDB iaitu awak, Shahrol, Hazem dan individu lain dalam pengurusan 1MDB.

Azmi: Saya tidak setuju. Saya tidak tahu dengan yang lain tetapi saya tidak setuju.

Shahrol adalah ketua pegawai eksekutif 1MDB dari 2009 hingga Mac 2013 manakala Mohd Hazem menyandang jawatan itu sehingga Januari 2015.

Scivetti: Awak pasti tahu bahawa Tim Leissner telah mengaku merasuah para pegawai 1MDB?

Azmi menjawab “Sebab itu saya katakan saya tidak tahu dengan yang lain tetapi bagi saya, saya tidak setuju.”

Scivetti: Malah pegawai 1MDB dalam kes Leissner dan pegawai Goldman Sachs mengaku memberi rasuah itu adalah awak, Shahrol dan Hazem.

Azmi menjawab “Tidak, saya tidak setuju.”

Saksi itu turut menafikan bahawa beliau telah bersubahat dengan Leissner, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low serta pegawai tinggi lain dalam 1MDB berhubung pemindahan AS$790 juta (RM3.3 bilion) daripada 1MELL kepada Aabar Investments PJS Ltd.

Azmi juga tidak bersetuju bahawa beliau dan individu terbabit telah bersubahat untuk memanipulasi dan mengelirukan lembaga pengarah 1MDB serta Najib, yang merupakan pemegang saham pada ketika itu, berhubung urus niaga AS$790 juta itu.

Scivetti: Awak tahu tak, 16 pekerja Goldman Sachs telah didakwa berhubung skandal 1MDB tetapi meskipun menjadi pengarah 1MELL dan menandatangani semua dokumen terbabit, awak tidak didakwa?

Azmi: Betul.

Scivetti: Shahrol, awak dan Hazem tidak didakwa. Saya katakan kepada awak bahawa awak tidak didakwa kerana memberikan keterangan terhadap Najib.

Azmi menjawab “Saya tidak pasti.”

Scivetti: Saya tanya awak.

Azmi: Saya tidak setuju.

Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah sebanyak RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada 14 Mac.