- Iklan -
Berita

PKR, Amanah tanding 20 kerusi, DAP 16 bagi PRN Johor

Keputusan berhubung agihan kerusi antara parti komponen Pakatan Harapan itu dimuktamadkan kelmarin.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di Kampung Portugis pada PRN Melaka.
Seorang penduduk melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di Kampung Portugis pada PRN Melaka.

PKR dan Amanah masing-masing akan bertanding 20 kerusi, manakala DAP pula akan bertanding 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu berkata keputusan berhubung agihan kerusi itu berjaya dimuktamadkan kelmarin sambil menambah calon bertanding masih dalam proses untuk dimuktamadkan.

“Keputusan agihan kerusi diputuskan kelmarin dengan PKR dan Amanah 20 kerusi manakala DAP pula 16 kerusi,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

“Selepas ini, ketiga-tiga parti akan berbincang semula bagi memuktamadkan agihan dengan parti lain yang mahu bertanding bersama PH pada PRN Johor, termasuk Muda, Pejuang dan Warisan.”

Mohamad turut berkata keputusan berhubung parti lain yang akan bersama Pakatan Harapan (PH) menghadapi PRN Johor kali ini akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“PH Johor akan membuat pengumuman rasmi apabila semuanya sudah dimuktamadkan.”

PRN Johor adalah PRN keempat diadakan sejak pandemik melanda.

PH mengalami kekalahan teruk pada setiap PRN yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Kekalahan paling teruk dialami PKR yang dipimpin Anwar Ibrahim walaupun mendapat kerusi paling banyak untuk ditandingi pada setiap PRN terutama di Melaka dan Sarawak.

Parti itu kalah di kesemua 28 kerusi yang ditandinginya di Sarawak pada 18 Disember lalu.

Sementara itu, di Melaka, PKR kalah di 11 kerusi ditandinginya, manakala Amanah memenangi satu kerusi dan DAP memenangi empat kerusi.

Mengulas cadangan sesetengah pihak supaya PH bergabung dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN Johor, Mohamad berkata, perkara itu tidak dibincangkan setakat ini.

“Isu ini tidak ada dibincangkan dalam Majlis Presiden PH. Setakat ni PH akan bergerak bersama beberapa parti yang akan menyertai kita pada PRN Johor ini.

“Setakat ini tiada permohonan daripada gabungan lain termasuk PN untuk bersama PH bagi menghadapi PRN Johor,” katanya.

Semalam, PH mengumumkan PKR akan menggunakan logo sendiri sementara DAP dan Amanah kekal menggunakan logo PH pada PRN Johor kali ini.

Mengulas berkenaan isu itu, Mohamad berkata keputusan tersebut tidak menimbulkan masalah terhadap PH.

“Perlu diingat, pembangkang menggunakan logo berbeza pada PRU sejak 1990 lagi dan hanya menggunakan logo yang sama pada PRU14 lalu.

“Pengundi sekarang sudah bijak dan bagi kita, ia bukan satu masalah pun,” katanya.

DUN Johor dibubarkan pada 22 Januari lalu selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Ketika ini, secara keseluruhannya, Barisan Nasional (BN) memegang 28 kerusi yang terdiri dari Umno (14), Bersatu (11) dan PAS (satu), sementara PH memegang 27 kerusi yang terdiri dari DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).