- Iklan -
Berita

Najib gagal dalam rayuan kembalikan semula saman terhadap Ambank, dua lagi

Najib Razak diperintahkan untuk membayar kos kepada Ambank Islamic, AMMB Holdings Bhd dan Joanna Yu Ging Ping.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Bekas Perdana Menteri Najib Razak gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan hari ini untuk mengembalikan semula saman sivil terhadap AmBank Islamic Bhd dan dua lagi berhubung dakwaan salah urus akaun banknya.

Panel tiga hakim terdiri daripada hakim Yaacob Md Sam, Hadhariah Syed Ismail dan Ahmad Zaidi Ibrahim sebulat suara menolak rayuan Najib dan memerintahkan beliau membayar kos RM40,000 kepada AmBank Islamic serta AMMB Holdings Bhd dan kos RM35,000 kepada bekas pengurus perhubungan pelanggan Joanna Yu Ging Ping yang merupakan responden dalam rayuan itu.

Hakim Yaacob yang menyampaikan keputusan mahkamah berkata pertuduhan jenayah yang dihadapi Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) bukan disebabkan oleh AmBank Islamic, AMMB Holdings dan Yu.

“Ia adalah soal kuasa budi bicara tunggal atau tidak terikat oleh peguam negara, sebagai pendakwa raya untuk memulakan sebarang prosiding pertuduhan jenayah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” katanya.

Beliau berkata isu dalam saman sivil Najib dan kes jenayah SRC Internationalnya adalah hampir serupa, jika tidak sama sepenuhnya.

Yaacob berkata mahkamah berpendapat bahawa beliau (Najib) berusaha untuk meneruskan saman sivilnya untuk menjejaskan prosiding jenayah dan penemuan oleh Mahkamah Tinggi Jenayah dan Mahkamah Rayuan dalam kes jenayah SRC International.

Yu adalah seorang daripada saksi pendakwaan dalam perbicaraan yang dihadapi Najib atas tujuh pertuduhan berkaitan dakwaan penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 28 Julai 2020, hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mensabitkan kesalahan serta menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib dalam kes jenayah SRC International.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Disember 2021. Najib memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan.

Najib juga mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai 2020 yang membatalkan samannya terhadap bank itu dan Yu, yang beliau dakwa antara lain telah melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Dalam keputusan mahkamah yang disampaikan secara dalam talian, Yaacob berkata saman sivil yang difailkan Najib terhadap bank itu dan Yu bukan bertujuan untuk menuntut ganti rugi tetapi hanya “serangan kolateral” terhadap apa yang telah berlaku dan diselesaikan di hadapan mahkamah jenayah dalam kes SRC International.

Serangan kolateral bermaksud tindakan undang-undang untuk mencabar keputusan dalam kes lain.

Hakim Yaacob berkata beliau bersetuju dengan hujahan peguam responden bahawa pentadbiran keadilan akan menjadi huru-hara jika pengisytiharan tidak bersalah atau dibebaskan daripada sebarang salah laku jenayah diperoleh daripada mahkamah sivil, yang akan menceroboh domain mahkamah jenayah.

Beliau berkata adalah tidak wajar isu yang sama diadili oleh mahkamah sivil dan mahkamah jenayah.

“Perlu diambil perhatian bahawa perayu (Najib) didapati bersalah atas pertuduhan jenayah tersebut oleh Mahkamah Tinggi dan selepas rayuan oleh perayu, dapatan dan keputusan Mahkamah Tinggi dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan,” katanya.

Yaacob berkata dalam penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes SRC International, mahkamah bersetuju dengan keputusan mahkamah Tinggi mengenai isu pengetahuan Najib berkaitan operasi akaun banknya.

Berikutan keputusan itu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu mahkamah beliau akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

Peguam Gurdial Singh Nijar mewakili Yu, manakala peguam Yoong Sin Min dan Benjamin John Dawson bertindak bagi pihak bank.