- Iklan -
Berita

Esscom keluar senarai 20 suspek dikehendaki kes penculikan

Esscom memasukkan pemimpin kanan Daulah Islamiah Sulu Based Majdid Said ke dalam senarai suspek terbaru kes penculikan di Esszone.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar dirakam pada 6 November, menunjukkan anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan berhampiran Sungai Daling dalam Operasi Cegah Pati (OCP) di Kampung Sungai Daling Luboh, Sandakan, Sabah. Gambar: Bernama
Gambar dirakam pada 6 November, menunjukkan anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) membuat rondaan berhampiran Sungai Daling dalam Operasi Cegah Pati (OCP) di Kampung Sungai Daling Luboh, Sandakan, Sabah. Gambar: Bernama

Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) hari ini mengeluarkan senarai terkini 20 individu warga Filipina yang dikehendaki kerana terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Komander Esscom Hamzah Ahmad berkata senarai yang dikemas kini itu melibatkan seorang suspek baru iaitu Majdid Said @ Ammah Pattit, yang merupakan ketua paling kanan Daulah Islamiah Sulu Based.

Beliau berkata Majdid yang berperanan sebagai komander Kumpulan Abu Sayyaf Sulu, adalah pemimpin kanan yang bakal menggantikan ketua kumpulan itu Hatib Hajan Sawadjaan.

Sementara itu, antara suspek yang kekal dalam senarai tersebut adalah Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan, yang juga pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf dan memiliki kepakaran menghasilkan bom.

“Mudzrimar adalah perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Di samping itu, menurut Hamzah, suspek yang disyaki berperanan sebagai “keepers” dan terlibat dalam kes penculikan di perairan Tambisan, Tungku, iaitu Ahadin Hussien, Ellam Sajirin @ Nasirin dan Ismurah Jirah juga masih berada dalam senarai dikehendaki ESSCom.

“Suspek lain dikehendaki ESSCom ialah Salip Mura, Al Munjir Yadah, Ben Tatoh Quirino, Basaron Ahok, Mujimar Sawadjaan @ Rasad, Marajan @ Manajan Asiri, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw, Jul @ Jun Hasan, Barak Undog @ Alvin, Hamsan Pakkan @ Black Cobra, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Hadji Wahad @ Talip, Tampi @ Bunju, Haibin Mubin @ Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko,” katanya.

Beliau berkata pihaknya akan memperhebatkan lagi operasi khas serta melaksanakan operasi bersepadu di laut dan darat, bagi membanteras sebarang ancaman di ESSZone yang menggugat keselamatan negara.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu dikehendaki itu, agar menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 atau menyalurkan maklumat menerusi aplikasi Whatsapp di 011-63311072.