Thursday, May 26, 2022

Amanah, DAP akan kekalkan PH, selepas PKR enggan guna logo

Mereka berkata parti komponen perlu duduk bersama sewaktu susah dan senang.

Other News

Amanah dan DAP hari ini berkata mereka akan “mengekalkan” Pakatan Harapan (PH), sehari selepas rakan komponen PKR mengumumkan bakal bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan menggunakan logo sendiri.

Dalam sebuah kenyataan, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata mereka berpandangan “parti-parti komponen serta parti-parti sahabat perlu duduk bersama, sama ada sewaktu senang atau sewaktu susah.”

“Sebagai satu gabungan, sudah tentu Amanah dan DAP inginkan semua parti gabungan bersatu di bawah satu lambang bersama yang berpegang kepada matlamat bersama dan agenda politik bersama,” kata mereka.

“Amanah dan DAP akan terus mengekalkan PH. Kita masih ada tiga kerajaan negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan untuk meneruskan usaha memenuhi keperluan rakyat.

“Atas sebab inilah, Amanah dan DAP akan tetap menggunakan logo PH bagi meneruskan usaha untuk kembali menjadi kerajaan.”

Semalam PH mengumumkan PKR akan menggunakan logo sendiri dalam menghadapi PRN Johor.

Mengakui wujud “perbezaan pendapat” berhubung permohonan PKR untuk menggunakan logo parti sendiri, mereka berkata Amanah dan DAP menghormati keputusan tersebut.

Mohamad dan Lim juga turut menegaskan parti mereka akan terus menggunakan logo PH untuk menunjukkan komitmen kepada “aspirasi untuk membentuk kerajaan melalui sebuah gabungan yang bersatu padu.”

“Sepanjang 65 tahun Merdeka, kerajaan yang memerintah sentiasa terdiri daripada gabungan parti-parti politik.

“Tidak pernah ada sebuah parti yang menang bersendirian atau berhak memerintah sendiri,” kata mereka sambil menambah Umno akan terus menggunakan logo Barisan Nasional (BN) walaupun ia merupakan parti yang dominan di negara ini sejak beberapa dekad lalu.

Bagaimanapun, mereka berkata kerjasama akan diteruskan dengan PKR serta parti-parti pembangkang lain termasuk Muda untuk menawarkan satu barisan yang bersatu padu bagi meyakinkan pengundi untuk memilih kerajaan PH dalam PRN Johor.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles