- Iklan -
Berita

Peguam jelaskan mengapa Najib lantik peguam diraja dalam rayuan SRC

Peguam Najib turut memohon mahkamah tidak menetapkan tarikh awal pendengaran rayuan kerana memerlukan masa untuk menterjemahkan dokumen mahkamah yang dikaitkan dengan kes itu.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama
Bekas perdana menteri Najib Razak. Gambar: Bernama

Hasrat Najib Razak untuk melantik peguam diraja dari United Kingdom kerana peguam diraja mempunyai pengalaman dan kepakaran untuk membantu beliau dalam isu dan persoalan perundangan yang kompleks dalam rayuannya untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes melibatkan dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Persekutuan.

Perkara itu didedahkan dalam surat enam halaman yang dikeluarkan peguam Najib daripada Shafee & Co. kepada sekretariat Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat semalam.

Dalam salinan surat yang dikeluarkan kepada media semalam, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata memandangkan rayuan itu melibatkan isu dan persoalan undang-undang yang kompleks serta dianggap baru di Malaysia dan Komanwel, perayu (Najib) memerlukan nasihat dan kepakaran daripada Peguam Diraja berpengalaman yang telah mengendalikan isu-isu kompleks ini.

Pelantikan peguam diraja itu akan dibuat secara ad-hoc selepas mendapat kebenaran daripada mahkamah Malaysia.

Selain itu, beliau berkata mereka juga memohon Mahkamah Persekutuan tidak menetapkan tarikh awal untuk pendengaran rayuan itu kerana mereka memerlukan masa untuk menterjemahkan nota dan dokumen mahkamah yang dikaitkan dengan kes itu dari Bahasa Malaysia ke Bahasa Inggeris, bagi membolehkan beliau dan peguam kanan lain memberi taklimat kepada peguam diraja mengenai rayuan itu.

“Oleh itu perayu memerlukan masa, selepas menerima rekod rayuan untuk membekalkan (rekod) yang sama kepada peguam diraja di London,” kata peguam.

Shafee berkata pihak-pihak masih belum menerima rekod penuh rayuan berhubung kes itu dan menyatakan sudah ada 121 jilid dokumen dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, yang menunjukkan bahawa ia mungkin meningkat di mahkamah tertinggi negara.

“Memandangkan pihak-pihak tidak dibekalkan dengan rekod penuh rayuan, perayu tidak dapat menyediakan petisyen rayuan yang lengkap kerana kami perlu meneliti rekod rayuan,” katanya dan menambah mereka memerlukan lanjutan masa untuk memfailkan petisyen rayuan.

“Justeru, kami percaya penetapan tarikh awal untuk mendengar rayuan ini akan menyebabkan prejudis kepada perayu terutama memandangkan bahawa ia adalah rayuan terakhir. Perayu perlu diberi masa yang cukup untuk membuat persediaan dan bukannya rayuan dipercepatkan. Perayu merasakan rayuannya dijalan dengan tergesa-gesa tanpa alasan yang kukuh. Persepsi adalah sangat penting kepada imej badan kehakiman,” katanya.

Berhubung dua rayuan bekas perdana menteri itu, untuk menambah bukti baru dan rayuan utama, peguam kanan itu berkata ia adalah satu keperluan untuk mengadakan perbicaraan berasingan dengan jurang masa yang ketara antara kedua-dua proses.

“Kami memohon pertimbangan baik Yang Arif bagi suatu tempoh wajar untuk mendengar kedua-dua rayuan. Kami tidak yakin sebarang tarikh pada April, Mei atau Jun adalah bersesuaian. Bagaimanapun, rayuan bukti tambahan boleh dipersetujui pada tarikh semasa yang telah ditetapkan,” katanya.

Semalam mahkamah menetapkan 15 dan 16 Mac untuk mendengar rayuan Najib bagi mengemukakan bukti baru.

Mahkamah juga menetapkan 28 Januari untuk pengurusan kes seterusnya bagi menentukan langkah berikutnya untuk rayuan utama.

Pada 7 Disember lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baharu bagi rayuannya dalam kes SRC dengan memutuskan bahawa Najib gagal memenuhi Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman secara kumulatif bahawa bukti baharu diperlukan untuk keadilan dalam kes itu.

Sehari selepas itu, mahkamah sama mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 28 Julai 2020.

Pada hari sama, Najib, 69, memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.