- Iklan -
Berita

Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Mais, kekalkan keputusan kes penukaran agama anak

Keputusan hakim Mahkamah Persekutuan selari dengan keputusan yang pernah dibuat dalam kes M Indira Gandhi.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP
Istana Kehakiman di Putrajaya yang menempatkan Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Gambar: AFP

Penukaran agama lima beradik oleh bapa mereka yang memeluk Islam pada 2018 tanpa persetujuan ibu bukan Muslim kekal tidak sah selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan pendaftar muallaf Selangor untuk mengembalikan status penukaran agama mereka kepada Islam.

Sehubungan itu, keputusan dibuat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang membatalkan penukaran agama kanak-kanak itu kepada Islam kekal.

Keputusan tersebut dicapai secara sebulat suara oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat.

Beliau berkata isu dibangkitkan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, yang mewakili Mais dan pendaftar muallaf Selangor telah diselesaikan melalui keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi.

“Oleh itu, keputusan mahkamah adalah betul berdasarkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi,” kata Maimun yang mengetuai panel hakim bersama Vernon Ong Lam Kiat dan Hasnah Mohammed Hashim.

Dalam kes Indira pada 2018, Mahkamah Persekutuan memutuskan persetujuan ibu dan bapa menjadi syarat bagi penukaran agama anak.

Maimun berkata peruntukan Seksyen 117 Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Enakmen 2003 jelas menyatakan seseorang yang bukan Muslim boleh menukar agama kepada Islam jika seseorang itu sempurna akal, mencapai umur 18 tahun; dan jika belum mencapai umur tersebut, ibu dan bapa atau penjaganya mengizinkan penukaran agamanya kepada Islam.

“Permohonan (Mais dan pendaftar muallaf) tidak menepati syarat yang dikenakan Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi mendapat kebenaran pelepasan tersebut,” tambahnya.

Beliau turut memerintahkan Mais dan pendaftar muallaf membayar kos sebanyak RM30,000.

Mais dan pendaftar muallaf Selangor memohon pelepasan rayuan selepas ibu berusia 33 tahun itu memfailkan permohonan semakan kehakiman yang antara lain memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pendaftaran dan pengisytiharan penukaran agama anak-anaknya kepada Islam.

Dia turut menamakan bekas suami, pengerusi Mais, pendaftar muallaf, ketua pengarah kementerian pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Pada 1 November 2018, suami dan bapa kepada anaknya memeluk Islam dan menukar agama lima anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan pihak ibu.

Anak sulungnya berumur 10 tahun, manakala anaknya yang lain berumur sembilan, enam, lima dan tiga tahun ketika hari agama mereka ditukar oleh suaminya.

Wanita itu hanya mengetahui anak-anaknya memeluk Islam selepas menerima surat dari Mais pada 2019 yang mengesahkan pendaftaran anak-anaknya sebagai penganut Islam.

Ketika membenarkan semakan kehakiman wanita tersebut, hakim Mahkamah Tinggi Abd Majid Hamzah memutuskan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira mengikat Mahkamah Rendah selain enakmen Selangor sendiri dengan jelas menyatakan bahawa kedua-dua ibu dan bapa mesti memberikan persetujuan dalam isu penukaran agama si anak.

Mahkamah Rayuan juga turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun lepas.