Wednesday, June 29, 2022

Nasib Zahid berhubung kes rasuah ditentukan hari ini

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah dijadualkan untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan pada pukul 9.30 pagi.

Other News

Keputusan sama ada Ahmad Zahid Hamidi akan dibebaskan atau diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi (YAB), akan diketahui hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah dijadualkan untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan pada pukul 9.30 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Zahid, 68, maka dia akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

Pada 6 Disember lepas Sequerah menetapkan hari ini sebagai tarikh untuk menyampaikan keputusannya di penghujung kes pendakwaan selepas mendengar hujah kedua-dua pihak.

Pasukan pendakwaan diketuai timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran manakala pasukan pembelaan terdiri daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Hamidi Mohd Noh.

Pada 19 Mac, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi termasuk bekas pegawai khas Zahid, Wan Ahmad Wan Omar, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co B. Muralidharan, pengurup wang Omar Ali Abdullah dan bekas setiausaha eksekutif Ahmad Zahid, Mejar Mazlina Mazlan @ Ramly. Perbicaraan bermula pada 18 November 2019.

Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan CBT, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Bagi pertuduhan CBT, Ahmad Zahid, didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad, cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016. Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi lapan tuduhan rasuah, Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai menteri dalam negeri ketika itu bagi membantu syarikat-syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran, masing-masing di Pakistan dan Nepal.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di cawangan Maybank Dataran Maybank di Jalan Maarof, Bangsar, antara 15 Julai 2016, dan 15 Mac 2018, mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga berdepan dengan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di bank yang sama di Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, di sini, antara 29 Mac 2016 dan April 2018.

Zahid juga berdepan dengan 40 pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung sistem visa luar negara, yang menjadikan beliau berdepan dengan sejumlah 87 pertuduhan semuanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles