- Iklan -
Berita

Lebih ramai bekas pemimpin DAP Pulau Pinang dijangka sertai Warisan

Bekas Adun Batu Lanchang Martin Lim menjadi bekas pemimpin DAP terbaru menyertai Warisan di Pulau Pinang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Warisan yang sebelum ini berpangkalan di Sabah mula mendapatkan pengaruhnya di Pulau Pinang dengan kemasukan bekas pemimpin DAP.
Warisan yang sebelum ini berpangkalan di Sabah mula mendapatkan pengaruhnya di Pulau Pinang dengan kemasukan bekas pemimpin DAP.

Lebih ramai bekas pemimpin DAP Pulau Pinang dijangka menyertai Warisan (Warisan) susulan penyertaan tiga bekas pemimpin DAP dalam parti yang berpangkalan di Sabah itu.

Koordinator Warisan Pulau Pinang yang baru dilantik Jeff Ooi berkata penyertaan beliau dan bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Asun) Batu Lanchang Danny Law Heng Kiang dilihat sebagai perintis kepada lebih ramai lagi bekas pemimpin DAP untuk mengikut jejak mereka.

“Tetapi tumpuan kita bukan setakat untuk menerima bekas ahli DAP kerana Warisan Pulau Pinang mahu merentas semua pelosok landskap politik dan melihat penyertaan daripada tokoh korporat dan golongan profesional muda.

“Syarat daripada pucuk pimpinan adalah untuk melihat tidak kurang 50% keahlian dan sokongan daripada golongan profesional muda,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ooi yang juga bekas ahli Parlimen Jelutong hari ini turut mengumumkan kemasukan seorang lagi bekas pemimpin DAP iaitu Martin Lim, 53, dalam Warisan Pulau Pinang

Lim menyertai DAP pada 2009 dan pernah memegang jawatan sebagai ketua kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang manakala Law yang mengumumkan keluar parti itu pada 18 Januari lepas setelah menyertainya selama 35 tahun pernah menjadi Adun Batu Lanchang.

Ditanya mengapa beliau memilih Wariasan, Ooi berkata beliau tertarik dengan konsep parti berbilang kaum dan agama, inklusif dan progresif yang diterapkan ke dalam parti tersebut.

Berkenaan hala tuju parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak, Ooi berkata parti Warisan Pulau Pinang akan berusaha keras untuk mencapai matlamat menubuhkan sebuah kerajaan pusat dengan Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memainkan peranan penting dan kritikal.