- Iklan -
Berita

Annuar Musa anjur solat hajat, doa selamat untuk Dr Mahathir di KL dan Kelantan

Majlis serupa turut diadakan secara serentak di Masjid Tuan Guru Haji Musa di Kota Bharu, Kelantan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa bersama hadirin mendoakan kesejahteraan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa bersama hadirin mendoakan kesejahteraan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa hari ini menganjurkan majlis solat hajat dan doa selamat bagi kesembuhan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang baru-baru-ini dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

Majlis yang diadakan di Masjid Muhammadi Angkasapuri di Kuala Lumpur itu bermula dengan solat maghrib berjemaah disusuli solat hajat dan bacaan surah Yasin.

Ia juga diadakan secara serentak di Masjid Tuan Guru Haji Musa, Kota Bharu, Kelantan.

Para jemaah memenuhi ruang masjid dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dengan memakai pelitup muka dan melaksanakan penjarakan sosial.

Majlis selesai selepas para jemaah menunaikan solat isyak secara berjemaah kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Annuar berkata, Mahathir pernah bersembahyang di Masjid Tuan Guru Haji Musa suatu ketika dahulu.

“Malam ini keluarga kami semua berkumpul untuk mendoakan beliau,” katanya.

Mahathir dimasukkan semula ke IJN awal minggu lalu selepas menjalani prosedur elektif pada 7 Januari lalu.

Sebelum itu Mahathir dimasukkan ke IJN pada Disember, doktor mengatakan mereka sedang menjalankan beberapa siri pemeriksaan kesihatan terhadapnya.

Ramai yang melahirkan rasa bimbang berhubung kesihatan bekas perdana menteri berusia 96 tahun itu.

Bagaimanapun, semalam dilaporkan bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu kini sudah mula sedar dan berada dalam keadaan stabil.