- Iklan -
Berita

DUN Johor bubar

Pembubaran DUN Johor bakal memberi laluan PRN keempat diadakan sejak pandemik Covid-19 melanda.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Adun berbahas dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor. Gambar: Bernama
Adun berbahas dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor. Gambar: Bernama

Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan hari ini sekali gus memberi laluan pilihan raya negeri (PRN) buat kali keempat diadakan sejak pandemic melanda negara.

Sebuah kenyataan rasmi istana berkata Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menerima watikah pembubaran DUN Johor yang diserahkan oleh Menteri Besar Hasni Mohammad.

“Pada pertemuan bersama tuanku sultan, Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran DUN Johor.

“Fasal 23 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 bahawa Dewan Negeri Johor Darul Takzim termansuh pada 22 Januari 2022,” katanya.

Spekulasi PRN bakal diadakan di negeri itu semakin hangat diperkatakan sejak kematian ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas Osman Sapian bulan lalu, di mana menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Umno yang mengetuai Barisan Nasional (BN) hanya mempunyai majoriti satu kerusi.

Ketika ini, secara keseluruhannya, BN memegang 28 kerusi yang terdiri dari Umno (14), Bersatu (11) dan PAS (satu), sementara Pakatan Harapan (PH) memegang 27 kerusi yang terdiri dari DAP (14), PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

PRN yang bakal diadakan di Johor kali ini menyusuli PRN Sarawak pada Disember tahun lalu di mana ia dimenangi Gabungan Parti Sarawak dengan meraih 76 dari 82 kerusi DUN Sarawak yang dipertandingkan.

Sebelumnya, PRN Melaka turut diadakan di mana ia menjadi PRN pertama dilaksanakan selepas perintah darurat ditarik semula.

Pada PRN Melaka, BN memenangi 21 dari 28 kerusi DUN.

Sementara PH hanya memenangi lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi dua kerusi.

Sebelum perintah darurat diisytiharkan di seluruh negara pada Januari 2021, Sabah juga turut mengadakan PRN.

Bagaimanapun, pelaksanaan PRN di negeri itu menyebabkan peningkatan kes Covid-19 akibat pergerakan pengundi dan jentera pilihan raya yang aktif sepanjang tempoh diadakan.