- Iklan -
Berita

Pendengaran rayuan Nagaenthran makin hampir menjelang hukuman mati

Kumpulan undang-undang berpangkalan di UK memberi amaran pelaksanaan hukuman terhadap Nagaenthraan boleh berlaku dalam kadar 'sangat cepat' jika rayuannya ditolak.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.
Aktivis memegang gambar Nagaenthran K Dharmalingam dalam satu himpunan penyerahan memorandum di Parlimen pada 3 November lalu.

Pihak berkuasa Singapura akan mendengar rayuan Nagaentran K Dharmalingam warga Malaysia yang menghadapi hukuman mati republik itu dalam masa beberapa hari lagi walaupun penangguhan hukuman diberikan kepadanya akhir tahun lalu.

Reprieve, sebuah kumpulan undang-undang berpangkalan di United Kingdom (UK) berkata hukuman mati Nagaenthran atas kesalahan dadah hanya ditangguhkan sementara menunggu rayuannya.

“Hal ini bermaksud dia sekali lagi berisiko berdepan hukuman mati, yang boleh dilaksanakan dengan kadar segera jika rayuannya ditolak,” katanya.

Rayuan Nagaenthran ditetapkan pada 24 Januari depan selepas dia diberi penangguhan hukuman mati berikutan diagnosis Covid-19 sebelum percubaan akhir untuk menghentikan hukuman tersebut pada 9 November 2021.

Nagaentran ditahan pada 2009 kerana membawa 43g heroin masuk ke Singapura, sebuah negara yang mempunyai undang-undang anti dadah paling keras di dunia.

Nagaenthran juga turut didiagnosis mempunyai IQ 69 – di bawah nilai ambang 70 bagi membolehkan seseorang itu diisytiharkan sebagai orang kurang upaya mental.

Dia bagaimanapun dijatuhi hukuman mati pada tahun berikutnya dan dijadualkan menjalani hukuman gantung pada 10 November 2021 selepas gagal dalam beberapa rayuannya di mahkamah.

Hukuman yang dikenakan terhadap Nagaenthran menimbulkan kemarahan orang ramai selain turut menyebabkan pemimpin Malaysia termasuk Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah merayu supaya dia diberikan pengampunan.