- Iklan -
Berita

RUU anti lompat parti dibentang pada sesi Parlimen Februari depan

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.
Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.

Rang undang-undang (RUU) anti lompat parti akan dimuktamad dan dibentang pada sesi Parlimen yang bermula 28 Februari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

“Ini juga selaras dengan saranan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menyegerakan RUU ini,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Wan Junaidi memaklumkan RUU Anti Lompat Parti akan dibawa pada sesi Parlimen bulan Julai 2022 kerana penggubalan peruntukan itu memerlukan kajian terperinci dan sesi libat urus yang holistik.

Beliau berkata persetujuan yang dicapai merupakan komitmen kedua-dua pihak bagi memastikan pelbagai perkara yang dipersetujui dalam memorandum persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH pada 13 September 2021 dapat dilaksana.

Wan Junaidi juga berkata jawatankuasa teknikal dwi partisan di bawah Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik yang dianggotai masing-masing empat wakil daripada kerajaan serta PH ditubuhkan bagi mendapat pandangan semua pihak.

“Jawatankuasa teknikal ini akan bertemu pada minggu hadapan untuk memperinci perkara dasar serta kerangka perundangan yang dicadangkan,” katanya.