- Iklan -
Berita

KKM sasar 70% kanak-kanak 5-12 tahun divaksin dalam tempoh 2 bulan

Pendaftaran vaksinasi untuk kanak-kanak bawah 12 tahun itu akan dibuka pada hujung Januari.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pelajar sekolah rendah akan mula menerima vaksin Pfizer dalam usaha melindungi golongan itu daripada wabak Covid-19.
Pelajar sekolah rendah akan mula menerima vaksin Pfizer dalam usaha melindungi golongan itu daripada wabak Covid-19.

Khairy Jamaluddin hari ini berkata kementerian kesihatan (KKM) menyasarkan 70% kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun menerima dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh dua bulan program vaksinasi kanak-kanak.

Menteri kesihatan itu berkata pihaknya akan membuka pendaftaran pada penghujung bulan ini bagi proses pendaftaran oleh ibu bapa.

“Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan dibuka pada penghujung Januari 2022. Sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak-anak sebagai tanggungan mereka dalam aplikasi MySejahtera,” katanya pada satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

“Tempahan untuk vaksinasi kanak-kanak berumur lima hingga ke bawah 12 tahun akan dibuka secara berperingkat mulai 31 Januari 2022, bermula dengan ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang.”

Sehubungan itu, Khairy berkata pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah itu akan bermula Februari ini, sebaik sahaja vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai pada 31 Januari.

Menurutnya, keputusan itu adalah berdasarkan data, maklumat dan pandangan kumpulan kerja teknikal dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi Covid-19 Kanak-Kanak.

“Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia lima tahun hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari ini di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.”

Pada November lalu, KKM mengumumkan vaksinasi kanak-kanak di bawah 12 tahun akan dimulakan pada tahun ini.

KKM juga menjangka seramai 5.9 juta kanak-kanak akan divaksinasi melibatkan anggaran keperluan kuantiti sebanyak 11.8 juta dos.

Pada 6 Januari, KKM mengumumkan kelulusan bersyarat imunisasi vaksin Pfizer Covid-19 kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memutuskan vaksinasi 10mcg vaksin Comirnaty mempunyai kekuatan yang lebih rendah berbanding vaksin Comirnaty yang diberikan kepada individu berusia 12 tahun dan ke atas.

Setakat ini, hanya Pfizer sahaja menjadi pemegang pendaftaran bagi vaksin Comirnaty yang akan diberikan kepada golongan tersebut.