Thursday, May 26, 2022

Kabinet putuskan pengguna perlu diberi pilihan untuk pembayaran tol

Perdana menteri berkata pemegang konsesi lebuh raya perlu mengekalkan lorong untuk pengguna TnG dan SmartTAG.

Other News

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pengguna jalan raya mesti diberi pilihan untuk pembayaran tol sama ada mahu menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), Touch ‘n Go (TnG) atau SmartTAG.

Beliau berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Kabinet semalam yang berpendapat pengguna mesti diberi pilihan seperti sewaktu TnG diperkenalkan di peringkat awal dengan pembayaran secara tunai masih diteruskan.

“Pengguna mesti diberi kebebasan sama ada nak guna RFID, Touch ‘n Go atau SmartTAG,” beliau berkata demikian kepada media ketika ditanya mengenai perkembangan pelaksanaan RFID selepas melancarkan program Jelajah Agrikomoditi Keluarga Malaysia malam tadi.

Ismail berkata RFID diperkenalkan untuk mempercepatkan perjalanan merupakan cadangan yang bagus tetapi pengguna juga mesti diberi pilihan memandangkan RFID adalah projek rintis dan ia akan mengambil masa untuk disesuaikan.

Terserah kepada pengguna untuk membuat pilihan dan kalau RFID memudahkan perjalanan mereka, pengguna lebuh raya boleh berhijrah kepada sistem RFID, katanya.

Ismail berkata pemegang konsesi lebuh raya perlu mengekalkan lorong untuk pengguna TnG dan SmartTAG.

“Jangan semua RFID lah. Kalau ada 10 lorong, mungkin beberapa lorong untuk RFID and the rest (dan selebihnya) masih lagi untuk TnG dan SmartTAG. Kita tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Ditanya sama ada pemegang konsesi lebuh raya telah dimaklumkan mengenai keputusan Kabinet itu, Ismail berkata Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof akan memanggil pemegang konsesi untuk berbincang dan membuat keputusan lanjut.

Ismail juga berkata mesyuarat Kabinet itu juga memutuskan apa sahaja perkara melibatkan bayaran oleh rakyat perlu dirujuk kepada Kabinet.

Media dan netizen melaporkan keadaan di beberapa plaza tol di Lembah Klang terutamanya pada Isnin lepas yang mengalami kesesakan didakwa akibat kegagalan RFID berfungsi.

Transaksi tol menggunakan teknologi RFID untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari lepas.

Sistem RFID membolehkan pengguna menikmati perjalanan lebih lancar tanpa perlu berhenti dan bergerak di lorong RFID dengan kelajuan 30 km/j serta melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan e-dompet Touch ‘n Go tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles