- Iklan -
Berita

Indonesia sasar hasilkan pil antiviral Covid-19 tahun ini

Penghasilan Molnupiravir dan Paxlovid dijangka akan dihasilkan di Indonesia pada April atau Mei tahun ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Molnupiravir merupakan ubat pil keluaran Merck dalam rawatan Covid-19 di mana ia dapat mengelakkan pesakit Covid-19 daripada dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia dengan kadar 50%. Gambar: Reuters
Molnupiravir merupakan ubat pil keluaran Merck dalam rawatan Covid-19 di mana ia dapat mengelakkan pesakit Covid-19 daripada dimasukkan ke hospital dan meninggal dunia dengan kadar 50%. Gambar: Reuters

Indonesia mensasarkan penghasilan dua jenis pil antiviral Covid-19 tempatan, Molnupiravir dan Paxlovid pada April atau Mei tahun ini.

“Kerajaan akan terus memastikan bekalan ubatan Covid-19 untuk kegunaan domestik mencukupi bagi menghadapi gelombang virus SARS-CoV-2,” kata jurucakap petugas khas Covid-19 kerajaan, Reisa Broto Asmoro dalam satu sidang media maya.

Kerajaan telah memperoleh 400,000 tablet Molnupiravir untuk merawat Covid-19 melalui syarikat pembekal ubat generik India, PT Amarox Pharma Global.

Molnupiravir yang dibangunkan oleh Merck & Co dan Ridgeback Biotherapeutics dan Paxlovid oleh Pfizer akan dihasilkan di kilang PT Amarox Pharma Global di daerah Bekasi.

Pil antivirus berfungsi memperkenalkan ralat pada kod genetik virus SARS-CoV-2 dan menghalang virus daripada terus berganda.

Negara yang memiliki bilangan penduduk keempat tertinggi di dunia itu menyaksikan jumlah kes Covid-19 didorong varian Omicron meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Jumlah keseluruhan kes Omicron meningkat kepada 882 kes setakat 14 Januari, manakala 276 pesakit telah sembuh hari ini, kata Reisa.

Indonesia mencatat 1,362 kes Covid-19 pada 18 Januari, jumlah kes harian tertinggi sejak pertengahan Oktober 2021.