- Iklan -
Berita

42.7% dewasa terima dos penggalak

97.9% daripada populasi dewasa telah lengkap menerima vaksinasi setakat ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas kesihatan menjalankan vaksinasi dos kedua di KLIA, Sepang.
Petugas kesihatan menjalankan vaksinasi dos kedua di KLIA, Sepang.

Seramai 258,337 individu penduduk dewasa di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 10,002,472 atau 42.7%.

Berdasarkan data kementerian kesihatan (KKM) menerusi laman CovidNow, sebanyak 22,911,629 atau 97.9% daripada populasi dewasa telah lengkap menerima vaksinasi, manakala 23,189,939 individu atau 99.1% daripada kumpulan itu, menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.

Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2,776,837 individu atau 88.2% telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2,862,423 individu atau 90.9% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan sejumlah 264,635 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,981 dos pertama dan 4,317 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,540,069 dos.

Sementara itu, menurut portal Github KKM, 13 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Kuala Lumpur, Sabah dan Pulau Pinang masing-masing merekodkan dua kes, dan masing-masing satu kes di Selangor, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah, Johor dan Kelantan.