- Iklan -
Berita

Tiada tanda pandemik Covid akan berakhir, kata WHO

WHO memberi amaran bilangan individu yang terus dijangkiti menunjukkan masih ramai yang mengalami sakit tenat dan berdepan risiko kematian.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Prang ramai berjalan kaki di sekitar ibu negara Kuala Lumpur dengan latar 'stay safe' di bangunan, memberi peringatan terhadap penularan Covid-19.
Prang ramai berjalan kaki di sekitar ibu negara Kuala Lumpur dengan latar 'stay safe' di bangunan, memberi peringatan terhadap penularan Covid-19.

Tiada tanda pandemik Covid-19 akan berakhir, kata ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Selasa, memberi amaran terhadap dakwaan kononnya varian Omicron yang menular pantas adalah bebas risiko.

“Masih tidak nampak bilakah pandemik akan berakhir,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada wartawan di ibu pejabat WHO di Geneva.

Ketua agensi kesihatan PBB itu memberi amaran supaya tidak mengabaikan bahaya varian Omicron walaupun ia memberikan impak ringan terhadap kesihatan.

Varian itu menular pantas di seluruh dunia sejak ia mula dikesan di selatan Afrika pada November.

Malahan, Omicron jauh lebih pantas menular daripada varian sebelumnya, namun jangkitannya hanya menyebabkan simptom dan penyakit yang kurang serius.

Sifat varian itu mencetuskan perdebatan hangat sama ada virus tersebut kini berada di ambang peralihan fasa pandemik kepada penyakit endemik di mana manusia boleh hidup dengannya – dengan anggapan bahawa bahaya virus itu akan hilang.

Namun WHO memberi amaran bahawa catatan rekod berterusan bilangan individu yang dijangkiti virus itu menunjukkan masih ramai yang mengalami sakit tenat akibat Covid sehingga membawa kematian.

Naratif yang mengelirukan

“Peningkatan kes, tanpa mengira tahap ketenatan akibat varian, telah menyebabkan peningkatan pesakit yang dimasukkan ke hospital dan kematian,” kata pengarah kecemasan WHO Michael Ryan pada sidang media pada Selasa.

Tedros turut bersetuju.

“Secara purata, Omicron mungkin kurang teruk, namun naratif yang mendakwa ia adalah penyakit ringan adalah mengelirukan,” katanya.

“Jangan salah faham: Omicron juga telah menyebabkan kemasukan ke hospital dan kematian, malah kes yang kurang tenat juga turut menyesakkan kemudahan kesihatan.”

Beliau berkata terdapat petunjuk bahawa lonjakan kes Covid akibat Omicron mungkin akan memuncak di beberapa negara.

Hal ini, katanya, “memberi harapan bahawa gelombang terbaru yang teruk ini dapat diselesaikan, tetapi belum ada negara yang dapat keluar daripada gelombang itu lagi.”

Tedros berkata terdapat keperluan mendesak untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi sistem kesihatan, terutama di negara yang masih mempunyai liputan vaksinasi yang rendah.

“Sekarang bukan masa untuk berputus asa dan mengibarkan bendera putih,” katanya.

“Kita masih boleh mengurangkan impak gelombang semasa Covid dengan cara berkongsi dan menggunakan alat kesihatan secara berkesan, selain melaksanakan langkah kesihatan awam dan sosial yang diketahui berkesan.”

Covid ragut 45,000 nyawa setiap minggu

Ketua Teknikal WHO Maria Van Kerkhove bersetuju bahawa kira-kira 45,000 kematian akibat penyakit itu masih didaftarkan di seluruh dunia setiap minggu.

“Itu tidak sepatutnya berlaku, kerana kita ada alatan kesihatan,” katanya kepada pemberita.

Data menunjukkan bahawa vaksin Covid sedia ada kurang berkesan dalam melindungi diri daripada jangkitan Omicron berbanding varian sebelumnya.

Kini, beberapa syarikat farmaseutikal dalam proses menghasilkan vaksin yang menyasarkan varian yang lebih baik, namun WHO berkata usaha itu tidak semestinya menjadi jalan keluar daripada krisis tersebut.

Walaupun idea vaksin khusus varian mungkin menarik, ketua saintis WHO Soumya Swaminathan mengingatkan bahawa usaha itu akan mengambil masa beberapa bulan untuk dikembangkan.

“Bahayanya ialah anda akan sentiasa cari jalan untuk hadapi varian yang muncul seterusnya.”

Oleh itu, menurutnya, pendekatan yang lebih baik adalah membangunkan apa yang dipanggil “vaksin yang menyasarkan pelbagai varian, secara idealnya, kita perlukan vaksin pan-Covid.”

Dalam pada itu, WHO menegaskan bahawa vaksin sedia ada masih berfungsi dengan baik untuk melindungi diri daripada jangkitan Covid tenat.

“Vaksin mungkin kurang berkesan untuk mencegah jangkitan dan penularan Omicron berbanding varian sebelumnya, tetapi ia masih sangat baik untuk mencegah penyakit serius dan kematian,” kata Tedros.