- Iklan -
Berita

SC jelaskan mengapa Azam tidak salah, tegaskan keputusan siasatan

Ia mengatakan keputusan siasatannya adalah berdasarkan bukti yang dikumpulkan ketika siasatan berhubung pemilikan saham Azam.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini sekali lagi menegaskan keputusannya yang membersihkan Azam Baki daripada dakwaan mempunyai konflik kepentingan dalam pemilikan saham syarikat berdasarkan siasatan yang dijalankan terhadap ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tersebut.

Dalam sebuah kenyataan, SC berkata bukti yang dikumpulkan dalam siasatan terhadap akaun dagangan Azam menunjukkan bahawa beliau dinamakan sebagai pemegang akaun dan turut mengawal akaun tersebut.

SC turut mengatakan Azam menjalankan operasi akaun yang dibukanya, dan beliau memberikan arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti dari akaun tersebut.

“Jadi, SC mencapai keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda),” katanya.

Semalam, SC berkata Azam bersih daripada dakwaan tersebut sambil menambah ketua pesuruhjaya SPRM itu tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang.

“SC memutuskan siasatannya dan berdasarkan bukti yang ada, SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda berlaku,” kata agansi kawal selia pasaran itu dalam kenyataannya, merujuk Akta Perindustrian Sekuriti. (Depositori Pusat) 1991.

SC juga turut berkata ia menutup fail siasatan terhadap Azam.

“Berdasarkan siasatan kami dan dokumen yang diperolehi dari pihak-pihak berkenaan, kami mendapati kami tidak boleh secara muktamad membuktikan terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti mengikut Seksyen 25(4) Sicda 1991 berlaku,” katanya.

Azam sepatutnya disoal Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa terdiri daripada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional, Barisan Nasional, GPS dan Warisan.

Beliau disiasat berhubung dakwaan konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat berikutan penerbitan beberapa artikel blog oleh seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan NGO tempatan C4 Center.

Azam juga turut mengeluarkan surat tuntutan kepada penulis artikel tersebut, Lalitha Kunaratnam.

Dalam pada itu, SPRM juga turut membuat laporan polis terhadapnya dan menyifatkan dakwaan Lalitha sebagai palsu dan tidak dikemukakan dengan bukti.

Beliau turut diserang pemimpin tertinggi PH yang menggesanya bercuti selain turut mendesak supaya pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) Abu Zahar Ujang disiasat kerana membersihkan Azam daripada sebarang dakwaan konflik kepentingan.