- Iklan -
Berita

Mahkamah Rayuan kekalkan status warganegara lelaki Sabah, tamparan buat KDN

Keputusan 2-1 dicapai panel hakim hari ini selepas menolak rayuan kerajaan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam hujahan rayuan pihak kerajaan selain menolak hujahan berkenaan “ouster clause”. Gambar: Bernama
Mahkamah Rayuan mendapati tiada merit dalam hujahan rayuan pihak kerajaan selain menolak hujahan berkenaan “ouster clause”. Gambar: Bernama

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung status warganegara lelaki Sabah, Wong Kueng Hui dalam keputusan majoriti 2-1 sekali gus menolak rayuan kerajaan, satu lagi tamparan kepada kementerian dalam negeri (KDN) berhubung isu status kewarganegaraan.

Keputusan itu dibuat panel hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan M Gunalan manakala Azizah Nawawi menolak.

Bercakap kepada MalaysiaNow, peguam Wong, Haijan Omar memaklumkan mahkamah mendapati tiada merit dalam hujahan rayuan pihak kerajaan selain menolak hujahan berkenaan “ouster clause”.

“Mahkamah mengatakan bahawa Wong sudah melakukan langkah-langkah untuk mengenalpasti ibunya, jadi beban itu terletak di atas bahu kerajaan untuk buktikan sebaliknya,” katanya kepada MalaysiaNow.

Haijan berkata, Wong pergi ke kedutaan besar Indonesia dan memberikan butir-butir diri dan ibunya seperti yang ternyata dalam sijil kelahirannya.

Bagaimanapun carian dilakukan kedutaan mendapati tiada rekod ibunya sebagai rakyat Indonesia.

“Sebab ibu bapanya tidak berkahwin, anak perlu mengikut kerakyatan ibu. Kalau kita ketahui ibunya warga Indonesia, kita mohon mengikut kerakyatan ibu dahulu.

“Bagaimana hendak memohon kerakyatan negara lain kalau kita tidak jelas kerakyatan ibunya?” soal Haijan.

Terdahulu, kerajaan melalui KDN mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan status warganegara lelaki berusia 27 tahun itu.

Wong lahir di Hospital Keningau, Sabah pada 2 Januari 1995.

Sebelum ini dia pernah memohon kerakyatan sebanyak dua kali sebelum permohonannya ditolak.

Pada 9 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman plaintif bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak melalui peraturan undang-undang untuk menjadi warganegara Malaysia.

Hakim Akhtar Tahir dalam keputusannya berkata wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki asing memiliki hak yang sama dengan lelaki yang berkahwin dengan wanita asing.

Saman tersebut difailkan kumpulan hak asasi Family Frontiers dan enam wanita warga Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing, pada 18 Disember 2020.