- Iklan -
Berita

Bot karam, 6 warga Indonesia lemas di perairan Johor

Nelayan tempatan melaporkan kejadian itu selepas mendapati enam mangsa lain terselamat tidak jauh dari kawasan pantai.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pihak berkuasa maritim ketika operasi mencari mangsa yang lemas di perairan Johor. Gambar: Bernama
Pihak berkuasa maritim ketika operasi mencari mangsa yang lemas di perairan Johor. Gambar: Bernama

Enam wanita warga Indonesia ditemui lemas di pantai Johor selepas bot dinaiki mereka karam ketika cuba memasuki perairan Malaysia, kata pihak berkuasa.

Mayat mangsa ditemui petang semalam selepas bot dari Pualu Batam yang membawa 13 warga Indonesia itu mengalami masalah di luar pesisir pantai Johor.

Dalam sebuah kenyataan, Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria berkata nelayan tempatan telah melaporkan kejadian itu selepas mendapati enam mangsa terselamat tidak jauh dari kawasan pantai.

Pihak berkuasa dan nelayan kemudiannya menemui seorang lagi mangsa yang terselamat dan enam wanita yang lemas sebelum menghentikan pencarian kira-kira 4 petang semalam.

Dalam pada itu, Hizam mengesahkan dua pengendali bot tersebut diserahkan kepada polis kerana disyaki menyeludup masuk penumpang ke dalam Malaysia.

Insiden itu berlaku sebulan selepas 21 warga Indonesia kehilangan nyawa selepas bot dinaiki mereka karam di Johor.

Warga Indonesia yang mencari pekerjaan sering cuba memasuki Malaysia secara haram melalui jalan laut yang berisiko tinggi, kemalangan sering berlaku sekiranya cuaca buruk di kawasan perairan Johor.

Malaysia menjadi negara sasaran jutaan warga asing di Asia, kebanyakan mereka tidak memiliki dokumen sah, dan mencari peluang pekerjaan dalam industri pembinaan dan pertanian.