- Iklan -
Berita

8 lagi ditahan di Johor bantu siasatan kes jualan sijil vaksinasi palsu

Sementara itu, polis sedang memburu 30 individu yang membeli sijil vaksin digital tanpa suntikan termasuk seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai menjadi dalang.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di Hulu Langat.
Petugas Kesihatan Hospital Orang Asli Gombak melakukan persediaan vaksin ke dalam picagari ketika program vaksinasi Orang Asli di Hulu Langat.

Polis menahan lapan individu termasuk tiga pekerja sebuah klinik swasta bagi membantu siasatan berkaitan aktiviti penjualan sijil digital vaksin Covid-19 tidak sah dan tanpa suntikan, pada Isnin hingga semalam.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata enam wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun termasuk lima pembeli itu ditahan berasingan selepas polis menerima laporan mengenai kegiatan tersebut daripada pemilik klinik pada 10.53 malam, Ahad lepas.

Beliau berkata pihaknya kini sedang memburu 30 individu yang telah membeli sijil vaksin digital tanpa suntikan temasuk seorang lelaki berusia 44 tahun yang dipercayai menjadi dalang.

“Kegiatan penjualan sijil digital vaksin Covid-19 tidak sah itu dipercayai telah beroperasi selama sebulan dan menyasarkan golongan yang enggan menerima suntikan vaksin atau antivaksin.

“Difahamkan setiap individu yang ingin mendapatkan sijil itu perlu membayar antara RM300 hingga RM650 manakala orang tengah yang bertindak mencari pelanggan pula akan menerima komisen RM125 bagi setiap sijil digital yang diperoleh,” katanya pada sidang media hari ini.

Kamarul berkata dua pekerja klinik terbabit direman empat hari hingga Jumaat ini manakala pihaknya akan memohon reman ke atas seorang lagi pekerja hari ini.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan/Seksyen 511 Kanun Keseksaan dan siasatan juga menjurus kepada kesalahan di bawah Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru individu yang telah membeli sijil digital vaksin tanpa suntikan supaya tampil dan menyerah diri di balai polis berhampiran.