- Iklan -
Berita

SC bersihkan Azam, tiada pelanggaran undang-undang dalam pembelian saham

Suruhanjaya Sekuriti mengatakan fail siasatan ditutup.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki.

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini membersihkan Azam Baki selepas siasatan terhadap dakwaan beberapa siri artikel dalam talian yang menuduhnya mempunyai konflik kepentingan dalam isu pembelian saham, mengatakan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) itu tidak melakukan pelanggaran undang-undang.

SC berkata siasatan mereka tertumpu kepada dakwaan mengatakan Azam melanggar Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda), yang mengatakan akaun dagangan perlu dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

“SC memutuskan siasatannya dan berdasarkan bukti yang ada, SC tidak dapat secara muktamad memutuskan pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda berlaku,” kata SC dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu tangkap layar email dari pengerusi SC Syed Zaid Albar tersebar, memaklumkan kepada Azam SC sudah menutup fail siasatan terhadapnya.

“Berdasarkan siasatan kami dan dokumen yang diperolehi dari pihak-pihak berkenaan, kami mendapati kami tidak boleh secara muktamad membuktikan terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti mengikut Seksyen 25 (4) Sisda 1991 berlaku,” katanya.

“Disebabkan itu, SC menutup fail siasatan tersebut.”

Azam sepatutnya disoal Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai beberapa agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebuah jawatankuasa terdiri daripada ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional, Barisan Nasional, GPS dan Warisan.

Beliau disiasat berhubung dakwaan konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat berikutan penerbitan beberapa artikel blog oleh seorang aktivis yang mempunyai kaitan dengan NGO tempatan C4 Center.

Azam juga mengeluarkan surat tuntutan kepada penulis artikel tersebut, Lalitha Kunaratnam.

SPRM turut membuat laporan polis terhadapnya dan menyifatkan dakwaan Lalitha sebagai palsu dan tidak dikemukakan dengan bukti.

Beliau turut diserang pemimpin tertinggi PH yang menggesanya bercuti dan supaya pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia (LPPR) Abu Zahar Ujang disiasat kerana membersihkan Azam.

Bagaimanapun Azam minggu lalu mengatakan tiada keperluan baginya untuk meletakkan jawatan dan menambah hanya Yang di-Pertuan Agong boleh memberikan arahan sedemikian.