- Iklan -
Berita

Azam alu-alukan keputusan SC berhubung siasatan konflik kepentingan

Beliau berkata akan meneruskan tanggungjawab untuk membanteras gejala rasuah tanpa mengira darjat atau pangkat.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Gembar: Bernama
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki. Gembar: Bernama

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki hari ini mengalu-alukan keputusan siasatan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang membersihkannya daripada tuduhan mempunyai konflik kepentingan dalam isu pemilikan saham syarikat.

Dalam kenyataannya hari ini, beliau melahirkan rasa syukur di atas keputusan dibuat oleh SC yang mendapati tiada kesalahan yang dilakukan olehnya.

“Dengan itu, saya akan meneruskan tanggungjawab sebagai ketua pesuruhjaya SPRM untuk membanteras gejala rasuah di negara tanpa mengira darjat atau pangkat,” katanya.

Terdahulu, SC berkata ia menutup fail siasatan terhadap Azam selepas tidak dapat secara muktamad memutuskan berlakunya sebarang pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Sicda.

Peruntukan tersebut menyatakan akaun dagangan mesti dibuka menggunakan nama pemilik benefisial atau calon yang bertauliah.

Sebelum ini, Azam dijangka menghadiri siasatan Jawatakuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, satu jawatankuasa yang dianggotai ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Warisan dan GPS.

Beliau disiasat berikutan dakwaan mempunyai konflik kepentingan dalam pembelian saham syarikat ekoran siri artikel blog oleh aktivis dikaitkan NGO tempatan C4 Center.

Azam kemudiannya surat tuntutan kepada penulis artikel tersebut, Lalitha Kunaratnam.

SPRM turut membuat laporan polis terhadapnya dan menyifatkan dakwaan Lalitha sebagai palsu dan tidak dikemukakan dengan bukti.

Beliau juga turut menjadi sasaran serangan daripada pemimpin PH yang menggesa ketua pesuruhjaya SPRM itu “direhatkan” dan turut mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang untuk disiasat berikutan nama Azam dibersihkan daripada sebarang dakwaan konflik kepentingan berhubung isu tersebut.