Seramai 237,703 individu dewasa telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19 semalam, menjadikan jumlah kumulatif bagi pemberian dos penggalak meningkat kepada 9,609,454 atau 41% setakat 11.59 malam tadi.
Berdasarkan data kementerian kesihatan (KKM) menerusi laman CovidNow, sebanyak 22,906,072 atau 97.8% populasi dewasa telah lengkap menerima suntikan vaksin manakala 23,185,749 individu atau 99% populasi dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin Covid-19.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, sebanyak 2,775,059 individu atau 88.2% telah melengkapkan vaksinasi sementara 2,862,198 individu atau 91% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, statistik harian menunjukkan 242,705 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 1,912 dos pertama, selain 3,090 dos lengkap menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) meningkat kepada 61,135,763 dos.
Sementara itu, menurut portal GitHub KKM, 16 kematian Covid-19 dilaporkan semalam dengan Selangor mencatatkan kematian tertinggi iaitu lima kematian diikuti Terengganu tiga kematian serta Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing mencatatkan dua kematian.