- Iklan -
Berita

Tiada pihak ketiga hadir tuntut RM500,000 milik, Alvin Goh, isteri ‘Addy Kana’

TPR SPRM memaklumkan kepada mahkamah bahawa notis untuk pihak ketiga telah diwartakan pada 13 Januari lepas.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berjalan di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Chocrane, Cheras.
Seorang lelaki berjalan di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Jalan Chocrane, Cheras.

Tiada pihak ketiga berkepentingan hadir di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menuntut wang lebih RM500,000 milik ahli perniagaan Alvin Goh Leong Yeong dan isteri kepada ‘Datuk Addy Kana’, Alyaa Syuhaila Mohamad Shariff serta beberapa buah syarikat mereka yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pada 29 September tahun lepas, pendakwa raya selaku pemohon memfailkan notis usul melucut hak wang tersebut secara berasingan dengan menamakan Goh, 34, syarikatnya, Malaysian House of Internet Sdn Bhd dan Networld Computer (KL) Sdn Bhd serta Alyaa, 35, dan syarikatnya, Nine Nine International Sdn Bhd selaku responden.

Timbalan pendakwa raya (TPR) SPRM, Ahmad Akram Gharib yang dibantu TPR SPRM Maziah Mohaide memaklumkan kepada mahkamah bahawa notis untuk pihak ketiga telah diwartakan pada 13 Januari lepas dan telah difailkan di mahkamah keesokannya (14 Januari).

“Bagaimanapun, tiada pihak ketiga yang hadir ke mahkamah hari ini,” katanya ketika pengurusan kes di hadapan hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Permohonan pengeluaran notis untuk pihak ketiga itu dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membolehkan pihak ketiga hadir di mahkamah secara sendiri atau melalui peguam bagi memberikan tunjuk sebab mengapa harta berkenaan tidak boleh dilucut hak kepada kerajaan.

Dalam pada itu, Ahmad Akram berkata Goh serta dua syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Networld Computer (KL) masih belum memfailkan afidavit jawapan kerana Goh berada dalam tahanan di Penjara Kluang dan kini sedang menjalani kuarantin Covid-19 dan peguam Lim Jin Wen yang mewakili Goh mengesahkan perkara itu serta memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan afidavit jawapan pada 11 Februari ini.

Bagi permohonan melucut hak wang daripada dua responden iaitu Alyaa serta syarikatnya, Nine Nine International, Ahmad Akram berkata pihaknya memohon tarikh pendengaran pada 28 Mac ini berikutan pemfailan afidavit antara kedua-dua pihak hampir selesai.

Peguam Syazwani Mohd Zawawi yang mewakili Alyaa Syuhaila tidak membantah tarikh pendengaran itu dan berkata pihaknya akan memfailkan afidavit balasan pada Jumaat ini (21 Januari).

Hakim Mohamed Zaini menetapkan 22 Februari ini untuk pengurusan kes bagi Goh dan dua syarikatnya manakala pendengaran bagi melucut hak wang daripada Alyaa serta sebuah syarikatnya ditetapkan pada 28 Mac.

“Mahkamah memerintahkan pemohon (pendakwa raya) memfailkan hujahan bertulis sebelum 4 Mac, pihak responden (Alyaa Syuhaila dan sebuah syarikatnya) perlu memfailkan hujahan bertulis (balasan) sebelum 18 Mac dah hujahan jawapan oleh pemohon sebelum 25 Mac,” kata Hakim Mohamed Zaini.

SPRM memohon untuk melucut hak wang milik Goh berjumlah RM60,232.01 yang disimpan di dalam tiga akaun bank lelaki itu dan wang RM10,588.94 dan RM16,721.75, masing-masing milik syarikatnya iaitu Malaysian House of Internet dan Network Computer, wang milik Alyaa berjumlah RM353,723.81 yang berada di dalam lima akaun banknya dan wang RM75,846.82 milik Nine Nine International.

Permohonan itu difailkan atas alasan wang yang disita pada Disember 2020 dan Januari 2021 didakwa diperoleh melalui hasil daripada aktiviti haram iaitu perjudian secara dalam talian dan dagangan mata wang kripto tanpa lesen sah dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Terdahulu, pada prosiding itu mahkamah memerintahkan wang berjumlah RM11,599.18 yang disita oleh SPRM daripada tiga akaun yang dua akaun dari syarikat Opal Fortune Sdn Bhd dan satu akaun dari syarikat MC Mont Cafe, yang wang tersebut hasil daripada aktiviti haram dan mempunyai kaitan dengan Goh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia selepas tiada individu menuntut wang berkenaan.