- Iklan -
Berita

Seni bina rumah Melayu tradisional penyelesaian kepada banjir?

Walaupun mendirikan rumah panggung Melayu seperti di kawasan kampung mungkin boleh mengurangkan kerugian akibat banjir, namun ia bukan penyelesaian jangka masa panjang.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang wanita meredah genangan air di kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam yang paling teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Seorang wanita meredah genangan air di kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam yang paling teruk terjejas akibat banjir baru-baru ini.

Banjir yang melanda pada Disember sehingga menenggelamkan banyak tempat di bandar-bandar utama di Lembah Klang dengan ketinggian air mencecah satu meter menimbulkan persoalan sama ada seni bina kawasan perumahan harus dilihat semula.

Ini kerana tidak seperti rumah Melayu atau dikenali sebagai “rumah panggung” di kawasan pedalaman yang bercirikan seni bina tradisional, rumah teres atau banglo moden tidak mempunyai panggung, yang mengakibatkan selut, lumpur dan banjir mudah memasuki kawasan rumah sekiranya berlaku banjir.

Pensyarah seni bina UTM Azari Mat Yasir berkata adaptasi rumah panggung boleh digunakan dalam binaan rumah moden, namun tidak bermakna teknologi sekarang diketepikan.

“Mengguna pakai teknologi lama tak bermakna kita kembali kepada binaan kayu, kerana binaan ini ada terhad dari aspek kebolehgunaan pada masa kini,” katanya kepada MalaysiaNow.

Dalam banjir baru-baru ini, kawasan seperti Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor yang menjadi antara kawasan yang paling terkesan, hanya bumbung-bumbung kereta yang boleh dilihat.

Sebahagian tempat seperti Bukit Lanchong di Subang Jaya, Selangor terputus hubungan dengan kawasan sekeliling penduduk memerlukan bot untuk diselamatkan.

Bencana itu membawa lumpur memasuki kawasan dalam rumah sehingga rata-rata mangsa memerlukan bantuan sukarelawan dan peralatan “water jet” untuk membersihkan rumah mereka.

Menurut Azari, sekiranya ada pihak persendirian yang ingin membangunkan rumah di tanah sendiri dengan berkonsepkan binaan rumah panggung bagi mengelakkan banjir, rekaan itu harus “mengosongkan” tingkat bawah.

Ini bermakna dinding atau bilik di bahagian bawah tidak boleh dibuat, katanya dan menambah rekaan tradisional rumah bertopang tiang juga terkait dengan penerimaan pemilik jika ingin diadaptasi dalam rumah moden.

“Ramai pemilik rumah masih terikut-ikut dengan trend. Lebih mudah untuk arkitek mereka bentuk bangunan yang sesuai mengikut keperluan dan bukan sekadar terikut dengan trend sekiranya pemilik rumah lebih sedar akan keperluan sesebuah reka bentuk.”

Azari bagaimanapun berkata, walaupun rumah tradisional yang mempunyai tiang merupakan satu kaedah untuk mengatasi masalah banjir, ia tidak mampu berdepan dengan semua jenis banjir, terutama apabila melibatkan arus kuat.

“Ini kerana apabila ada arus, ia juga membawa sampah sarap, kayu dan sebagainya.

“Ini boleh menyapu habis struktur rumah yang hanya bersandarkan kepada beberapa siri tiang berangkai,” katanya.

Boleh dimulakan di kawasan terkesan banjir

Sementara itu, pengarah urusan firma Humanitarian Capital, Hafiz Amirrol berkata, seni bina rumah panggung sesuai dibina dalam konteks kawasan spesifik terkesan dengan banjir.

“Cumanya, masyarakat Malaysia yang kononnya semakin moden melupakan konsep seni bina dan pembinaan tersebut dan berebut-rebut ingin rumah atas tanah atau seni bina moden (modern architecture).

“Jadi wajar untuk mereka ‘pilih’ semula tipologi rumah tersebut,” katanya kepada MalaysiaNow.

Manurut Hafiz bagaimanapun, ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang.

Hafiz yang berpengalaman dalam bidang seni bina dan pernah terlibat membina semula rumah sementara mangsa banjir Kuala Krai bersama Mercy Malaysia menegaskan, rumah panggung bersifat reaktif dan tidak praktikal.

“Pembinaan rumah panggung tidak akan menyelesaikan masalah ini. Apa yang mungkin dapat menyelesaikan masalah ini?

“Jangan buat pembangunan atau tinggal di kawasan yang sudah dikenal pasti atau diwartakan sebagai kawasan banjir.”

Katanya, masalah banjir tidak hanya boleh dilihat menerusi perspektif tipologi bangunan semata-mata.

Ia membabitkan perancangan kawasan, penyelesaian berasaskan alam semulajadi (nature-based solution), pengurangan dan pengurusan risiko bencana berasaskan masyarakat (community-based disaster risk reduction and management)dan pemerkasaan pihak berkuasa tempatan, kerajaan tempatan serta masyarakat tempatan.

Azari menekankan mengenai tadahan air bagi memastikan tidak terlalu banyak air mengalir ke sungai dengan terlalu cepat.

“Sekiranya setiap rumah dan bangunan di Malaysia ini mengamalkan mengumpul air hujan seperti amalan tradisi rumah-rumah Melayu dahulu utk disimpan di dalam kolah (rainwater harvesting), ia juga boleh membantu mengurangkan banjir.”