- Iklan -
Berita

Pemimpin Umno Johor nafi bertemu Anwar ketika khabar angin PRN memuncak

Kerajaan Johor yang dipimpin Umno kini hanya mempunyai majoriti satu kerusi, namun ia mungkin tumbang jika amaran Sultan Ibrahim tidak dipatuhi.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas exco Johor dari Umno Jais Sarday (kanan) bersama presiden PKR Anwar Ibrahim dalam sebuah gambar tular.
Bekas exco Johor dari Umno Jais Sarday (kanan) bersama presiden PKR Anwar Ibrahim dalam sebuah gambar tular.

Gambar pertemuan antara bekas exco Johor dari Umno dan Anwar Ibrahim mencetuskan spekulasi pemimpin pembangkang itu terlibat dalam rundingan berkait kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) diadakan di negeri itu.

Namun Jais Sarday, seorang pengikut Mohamed Khaled Nordin yang berkhidmat di bawah bekas menteri besar itu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, menafikan beliau bertemu Anwar untuk berbincang mengenai pembubaran kerajaan negeri di bawa Umno ketika ini bagi memberikan laluan kepada PRN diadakan.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, Jais berkata beliau menyokong sebarang langkah bagi mendapatkan mandat baru daripada rakyat, mengatakan kerajaan ketika ini tidak boleh berfungsi secara baik ekoran hanya memiliki satu majoriti.

“Saya percaya di Johor, Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah lama bersedia dan berkobar-kobar untuk dapatkan mandatkan yang lebih besar.

“Sekiranya PRN diadakan, kita dapat kembalikan mandat kepada rakyat. Seperti mana di Melaka dan Sarawak, kita nampak rakyat akan tolak parti daripada PH,” kata Jais.

Beliau bagaimanapun menafikan sebarang rundingan dengan Anwar.

“Ini gambar lama, tiada kena mengena dengan PRN atau politik,” katanya ketika ditunjukkan gambar tular yang memaparkan pertemuan beliau dan Anwar.

Beliau juga turut menafikan dakwaan gambar tersebut diambil ketika PRN Melaka, mengatakan beliau sibuk berkempen untuk Umno di Jasin sepanjang PRN tersebut.

Isu pembubaran kerajaan negeri Johor timbul selepas beberapa kenyataan dari pemimpin Umno termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi, mengatakan parti itu bersedia untuk bertanding PRN Johor seperti di Melaka baru-baru ini.

Dalam pada itu, Khaled juga turut menunjukkan pendirian senada dengan presiden Umno, mengatakan jentera pilihan raya parti di negeri itu sudah bersedia.

Jais yang merupakan pengerusi Umno Kluang, sudah lama menggesa PRN diadakan di Johor seawal 2019, sebaik sahaja Osman Sapian meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Khabar angin tentang PRN bertiup kencang sejak kematian Osman yang juga Adun Kempas bulan lalu, menjadikan gabungan kerajaan Johor yang dipimpin Umno hanya mempunyai majoriti satu kerusi.

PRN Melaka sebelum ini diadakan berikutan empat Adun yang menarik sokongan mereka kepada kerajaan negeri pimpinan Umno.

Kuartet itu juga turut membuat rundingan dengan Anwar, yang kemudiannya mengambil keputusan untuk mencalonkan dua daripada mereka sebagai calon PH dalam PRN tersebut.

Bagaimanapun, kesemua calon PKR yang bertanding di bawah gabungan itu kalah.

Ramai yang mengkritik pelaksanaan PRN Melaka ketika negara sedang dalam fasa pemulihan Covid-19 berikutan kejayaan program vaksinasi, ia juga turut dikecam kerana bimbang lonjakan kes akan berlaku sekali lagi seperti apa yang terjadi selepas PRN Sabah pada 2020.

Ketika darurat ditamatkan tahun lalu, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran kepada ahli politik di negeri itu supaya tidak melakukan percubaan mengganggu-gugat kerajaan negeri, dan menggesa mereka menumpukan usaha membantu rakyat.

“Saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” kata sultan yang terkenal tegas sewaktu pembukaan sidang DUN di Johor 12 Ogos tahun lalu.