- Iklan -
Berita

Tun Faisal harap Umno semak semula kewajaran gantung keahliannya selama 6 tahun

Faisal berharap Panel Rayuan Umno menilai semula justifikasi dalam keputusan menggantung keahliannya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya merangkap Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah, Tun Faisal Ismail Aziz.
Timbalan Ketua Umno Bahagian Putrajaya merangkap Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah, Tun Faisal Ismail Aziz.

Timbalan Ketua Umno Putrajaya Tun Faisal Ismail Aziz menyuarakan harapannya kepada panel rayuan parti itu supaya menyemak semula justifikasi hukuman gantung keahlian selama enam tahun terhadapnya.

Dalam sebuah laporan, Faisal berkata beliau menghargai keterbukaan panel disiplin parti itu kerana sudi mendengar hujahnya.

“Enam tahun pengantungan saya, besar mana kesalahan yang menyebabkan saya digantung selama enam tahun.

“Harapan saya agar panel rayuan ini melihat semula justifikasi hukuman enam tahun pengantungan yang dikenakan pada diri saya adalah tak wajar,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Faisal dikatakan bersemuka dengan Panel Rayuan Umno pada Selasa berhubung hukuman yang dikenakan parti Melayu itu terhadapnya tahun lalu.

Ia adalah susulan daripada surat rayuan beliau kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tahun lalu yang menjelaskan hujah pembelaannya kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) selepas diberikan surat tunjuk sebab.

Keputusan menggantung Faisal diambil MKT Umno pada 8 Mac tahun lalu dengan alasan beliau telah melanggar tatatertib sebagai seorang ahli parti.

Penggantungan keahlian beliau juga dikatakan berikutan kelantangannya dalam mengkritik Zahid kerana tidak mahu meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Beliau mengatakan Zahid mengkhianati Umno dengan menyokong langkah Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menggulingkan kerajaan.

Beliau juga turut dilihat tidak sebulu dengan Ahli Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor di mana Faisal dilihat menjadi sasaran untuk diketepikan dari Umno Putrajaya.