- Iklan -
Berita

Situasi pendidikan selepas dua tahun pandemik

Jurang penguasaan pelajaran masih wujud walaupun pembelajaran secara fizikal sudah bermula, dengan kerjasama semua pihak, ia mungkin cukup dalam usaha menanganinya sekali gus membantu murid menampung masa yang terbang akibat Covid-19.

Danisyah Dalily
3 minit bacaan
Kongsi
Murid sekolah mengimbas suhu di pintu pagar sekolah sebelum masuk ke kelas. Gambar: Bernama
Murid sekolah mengimbas suhu di pintu pagar sekolah sebelum masuk ke kelas. Gambar: Bernama

Walaupun situasi pandemik Malaysia dilihat semakin stabil daripada beberapa aspek, kebimbangan berhubung pembangunan pendidikan masih kekal selepas murid mula kembali ke sekolah bagi pembelajaran secara fizikal setelah lebih dua tahun kelas terganggu ditambah dengan banjir baru-baru ini.

Bermula awal minggu ini puluhan ribu murid di seluruh negara kembali ke kelas untuk pembelajaran secara bersemuka susulan cuti sekolah yang ditangguh seminggu akibat banjir besar.

Namun, sedikit masa diperlukan untuk merapatkan jurang disebabkan pandemik Covid-19 dapat dilakukan menurut Majlis Pengetua Sekolah Malaysia.

Presidennya, Mohd Ariffin Abdul Rahman berkata wabak itu memberi kesan yang besar terhadap proses pembelajaran murid.

Bercakap kepada MalaysiaNow, beliau menganggarkan secara puratanya, murid ketinggalan dalam pembelajaran mereka selama tiga bulan.

“Jika kita menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka tanpa giliran, sukatan pelajaran di sekolah boleh dihabiskan dalam tempoh kira-kira enam bulan terutama bagi murid Tahun Satu,” katanya.

“Bagaimanapun, masa yang diperlukan untuk menguasai sukatan pelajaran mungkin mengambil masa lebih lama jika kita menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).”

Secara umum, PdPR merupakan satu-satunya bentuk pembelajaran yang boleh dijalani murid sepanjang tempoh pandemik, terutama ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) berskala besar di mana ia menyebabkan penutupan sektor sosial dan ekonomi.

Namun beberapa beberapa bulan kebelakangan, Malaysia mula membuka sektor ekonomi dan sosialnya secara berperingkat.

Larangan rentas negeri juga turut dibatalkan akhir tahun lalu berikutan lebih 98% populasi dewasa lengkap divaksinasi.

Pada peringkat awal pandemik, Ariffin berkata, semua orang berharap supaya wabak tersebut dapat segera ditangani.

Ketika itu, katanya, tumpuan diberikan kepada kesihatan awam berbanding sektor pendidikan.

Malangnya, wabak yang menular bukan sahaja memakan tempoh beberapa bulan bahkan berlanjutan sehingga dua tahun.

Ekoran itu, beberapa alternatif dibangunkan untuk memastikan murid dapat meneruskan pembelajaran walaupun terdapat sekatan pergerakan.

Sebagai contoh, sesetengah sekolah menjalankan pembelajaran PdPR yang fleksibel di mana ia dijalankan sehingga waktu petang atau malam, ini bagi membolehkan murid menghubungi guru mereka pada bila-bila masa bagi membincangkan mata pelajaran.

Namun, Ariffin berkata kebebasan yang diperolehi murid melalui penggunaan pelbagai peranti dan akses internet tanpa sempadan menyebabkan sebahagian daripada mereka beralih kepada aktiviti yang tidak berfaedah.

Beliau memberi contoh murid yang bermain permainan video sepanjang malam sehingga ia mengganggu corak tidur menyebabkan mereka tidur berlebihan.

Menurutnya, murid sebegini sering terlepas kelas PdPR, menyebabkan defisit pembelajaran semakin melebar yang kemudiannya mengambil masa yang lebih lama untuk diselesaikan, katanya.

Menurut Ariffin, sekiranya setiap murid konsisten mengikuti pelajaran melalui PdPR, sukatan pelajaran dapat diselesaikan tepat pada masanya.

Namun hal ini jarang berlaku, berikutan beberapa faktor termasuk sikap murid, pengurusan ibu bapa dalam pembelajaran di rumah, persekitaran rumah dan akses internet yang berbeza, katanya.

Ashvini Murugan berkata wabak itu mengubah cara dia membayangkan masa depan dua anak lelakinya yang berada di Tingkatan Satu dan Tahun Dua.

Dia bersetuju sesetengah kanak-kanak ketinggalan dalam pelajaran apabila sekolah ditutup namun mengatakan mereka berdepan dengan pergelutan mereka sendiri.

“Sebagai ibu bapa, saya bimbang tentang prestasi akademik mereka semasa pandemik, namun walaupun ia sukar bagi kami untuk terima, ia juga sebenarnya tidak mudah untuk dihadapi anak-anak ini,” katanya.

Walaupun Ashvini masih percaya dengan kepentingan pendidikan formal, namun dia berkata sepanjang pandemik, murid dilihat mengembangkan kemahiran lain dalam bidang tertentu.

“Mereka sangat cepat belajar mengenai teknologi digital,” tambahnya.

“Saya rasa itulah kelebihan mereka.”

Di sebalik kebimbangannya, wanita itu juga percaya kemungkinan-kemungkinan besar lain sedang menanti.

“Buat masa ini, kita hanya perlu pastikan mereka mendapat pendidikan yang terbaik.”

Sementara itu, Ariffin berkata permohonan untuk mendapatkan tempat di sekolah berasrama penuh dan universiti kekal kukuh sepanjang tempoh pandemik.

“Pendidikan sekolah dan universiti masih menjadi ruang terpenting untuk meningkatkan taraf sosio ekonomi generasi muda,” katanya.

“Mereka akan mempunyai masa depan yang cerah jika semua orang dapat menangani dan menyelesaikan isu-isu yang timbul bersama-sama.”

Ariffin berkata walaupun PdPR membantu dalam mengekalkan perjalanan sektor pendidikan sepanjang pandemik, kelas bersemuka secara fizikal tetap penting.

“Sekiranya semua orang bekerjasama untuk pupuk anak-anak ke arah pendidikan, kemajuan negara yang terjejas ketika ini tidak akan berpanjangan.”