- Iklan -
Berita

Asean bimbang PM Kemboja lawat Myanmar, kata Saifuddin

Menurut Saifuddin, lawatan Hun Sen tersebut boleh dilihat sebagai sebuah pengiktitrafan terhadap junta tentera di Myanmar.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama
Menteri Luar Saifuddin Abdullah. Gambar: Bernama

Menteri Luar Saifuddin Abdullah berkata beberapa negara Asia Tenggara mempunyai keraguan berhubung lawatan pemimpin Kemboja ke Myanmar minggu lalu, dengan kebimbangan ia mungkin dilihat sebagai pengiktirafan serantau terhadap kerajaan junta.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, yang merupakan pengerusi Asean bagi 2022 telah mengadakan pertemuan dengan pemimpin tentera Min Aung Hlaing.

Ia merupakan lawatan pertama ketua kerajaan ke Myanmar sejak rampasan kuasa tahun lalu sekali gus memberi tamparan kepada usaha antarabangsa untuk mengasingkan kerajaan junta di Myanmar.

Bercakap kepada pemberita lewat malam tadi, Saifuddin berkata terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin Asean berhubung lawatan Hun Sen, dengan sekitar 10 anggotanya melahirkan rasa bimbang ia akan dilihat sebagai satu cara memberikan pengiktirafan terhadap rampasan kuasa yang berlaku di negara itu.

“Ada juga yang berpendapat bahawa dia tidak sepatutnya membuat lawatan itu kerana ia akan ditafsirkan sebagai pengiktirafan kepada tentera di Myanmar,” katanya.

“Malaysia berpendapat beliau mempunyai hak untuk melawat Myanmar sebagai ketua kerajaan Kemboja. Bagaimanapun, kami berpandangan sebagai seorang penyandang pengerusi Asean, beliau boleh sahaja berunding dahulu dengan pemimpin Asean yang lain dan meminta pandangan tentang apa yang perlu beliau lakukan sekiranya beliau pergi ke Myanmar,” kata Saifuddin di samping turut menafikan tindakan Hun Sen tersebut telah mencapai kata sepakat atau sebarang tujuan diplomatik lain.

Myanmar telah bergolak sejak kudeta tahun lalu, rejim junta turut dilaporkan menggunakan kekerasan bagi meredakan protes dan tunjuk perasaan selain turut berdepan penentangan bersenjata daripada pelbagai pihak yang dilabel sebagai “pengganas”.

Ribuan individu telah ditangkap dan pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi, 76, juga telah disabitkan kesalahan jenayah termasuk kesalahan menghasut dan melanggar peraturan Covid-19.

Akhir tahun lalu, Asean mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini dengan mengenepikan Min Aung Hlaing daripada menyertai sidang kemuncaknya kerana gagal melaksanakan pelan damai menamatkan konflik dan memulakan dialog inklusif yang telah dipersetujuinya dengan Asean.

Saifuddin turut berkata masih tidak jelas sama ada Kemboja akan terus mengecualikan junta Myanmar daripada mesyuarat Asean sehingga ia usaha damai menunjukkan perkembangan, satu pendirian yang diambil Brunei, pengerusi Asean sebelum ini di mana ia turut disokong Malaysia.

Pada Sabtu, Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn berkata negaranya sebagai pengerusi Asean akan mengambil “pendekatan berbeza” terhadap krisis Myanmar.

Menurut media negara Myanmar, Min Aung Hlaing mengucapkan terima kasih kepada Hun Sen kerana “berdiri bersama Myanmar”.