- Iklan -
Berita

WHO beri amaran Omicron bahaya terutama bagi individu tidak divaksin

WHO menggesa orang ramai supaya tidak menyerah dalam melawan varian Omicron.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Varian Omicron kini menjadi kebimbangan dunia selepas penularan pantasnya telah menyebabkan beberapa negara memulakan sekatan pergerakan bagi aktiviti ekonomi dan sosial. Gambar: Bernama
Varian Omicron kini menjadi kebimbangan dunia selepas penularan pantasnya telah menyebabkan beberapa negara memulakan sekatan pergerakan bagi aktiviti ekonomi dan sosial. Gambar: Bernama

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa varian Omicron adalah berbahaya terutama bagi mereka yang belum menerima vaksin.

WHO berkata lonjakan kes global yang berpunca akibat Omicron lebih mudah menular berbanding varian Delta yang dominan sebelum ini.

Lebih dari 15 juta kes varian itu dilaporkan kepada WHO minggu lalu, namun jutaan kes lagi dianggap masih tidak direkodkan.

Namun, agensi kesihatan PBB itu juga turut berkata supaya orang ramai tidak menyerah kalah terhadap usaha menangani varian itu, sambil menolak tanggapan bahawa varian itu mungkin boleh menjadi cara yang dialu-alukan untuk menamatkan wabak itu.

“Walaupun Omicron menyebabkan penyakit yang kurang teruk berbanding Delta, ia kekal sebagai varian virus berbahaya – terutamanya bagi mereka yang tidak divaksinasi,” kata Pengerusi WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada sidang akhbar.

“Kita tidak boleh membenarkan virus ini bebas atau angkat bendera putih, terutama ketika begitu ramai orang di seluruh dunia masih tidak divaksinasi.”

Menurut Tedros, “majoriti besar” orang yang dimasukkan ke hospital adalah mereka tidak disuntik vaksinasi.

Beliau turut berkata walaupun vaksin sangat berkesan dalam mencegah kematian dan penyakit Covid-19 yang teruk, namun ia tidak menghalang penularan wabak itu.

“Lebih banyak penularan bermakna lebih banyak kemasukan ke hospital, lebih banyak kematian, lebih ramai orang tidak bekerja – termasuk guru dan pekerja kesihatan – dan lebih banyak risiko varian lain muncul yang lebih mudah ditularkan dan lebih bahaya daripada Omicron.”

Tedros turut menambah berkata bahawa jumlah kematian di seluruh dunia telah stabil sekitar 50,000 seminggu.

“Belajar untuk hidup dengan virus ini tidak bermakna kita boleh, atau harus, menerima jumlah kematian,” katanya.