Sunday, May 22, 2022

Malaysia terima RM340 juta bayaran berkait 1MDB, kata kementerian

Bayaran penyelesaian dari KPMG itu akan disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

Other News

Kerajaan telah menerima bayaran penyelesaian berjumlah RM340.92 juta (AS$80 juta) daripada KPMG yang disalurkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia, kata kementerian kewangan (MOF).

Dalam kenyataan hari ini MOF berkata penyelesaian tersebut menyusuli pengumuman pada 16 September 2021 yang membabitkan persetujuan KPMG untuk menyelesaikan saman sivil yang telah difailkan oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) terhadapnya.

Setakat ini, Akaun Amanah di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah menerima sejumlah RM19.138 bilion berhubung skandal kewangan 1MDB dan dana tersebut telah/akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tertunggak 1MDB.

“Sehingga kini, kerajaan telah membayar balik RM13.3 bilion hutang 1MDB.

“Pada 31 Dis, 2021, hutang terkumpul 1MDB yang terdiri daripada prinsipal dan kupon/keuntungan untuk bon dan sukuk adalah berjumlah RM38.81 bilion,” kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dalam kenyataan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata baki semasa Akaun Amanah adalah mencukupi untuk membayar jumlah prinsipal bon bagi tahun ini sahaja.

“Apabila semua dana Akaun Amanah telah digunakan, kerajaan akan terus menanggung obligasi untuk membayar baki hutang 1MDB, yang penerbitannya disokong oleh jaminan dan surat sokongan kerajaan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, kerajaan kekal komited dalam usaha pemulihan aset 1MDB dan akan sentiasa memastikan peruntukan yang mencukupi untuk menyelesaikan hutang 1MDB bagi menguruskan beban kewangan negara yang disebabkan oleh entiti tersebut.

Dalam pada itu, MOF turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Bank Negara Malaysia, pasukan Polis Diraja Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional di atas usaha mencapai penyelesaian terbabit.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles